Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB: Bekas pegawai Goldman Sachs mungkin mengaku bersalah
Diterbitkan:  Jul 10, 2018 9:52 AM
Dikemaskini: 1:58 AM

Bekas pegawai tinggi Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner kini dalam perbincangan dengan pendakwa Amerika Syarikat (AS) berhubung kemungkinan untuknya mengaku bersalah terhadap dakwaan jenayah mencuri berbilion ringgit dana 1MDB, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ) semalam.

Laporan itu memetik sumber yang berkata, Leissner mahu mendapatkan persetujuan daripada pihak pendakwa yang akan melibatkan kerjasamanya dengan siasatan kerajaan AS terhadap 1MDB dan Goldman Sachs.

Dia merupakan bekas pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara dan orang utama dalam penjualan tiga bon 1MDB.

Bank itu membantu meraih meraih bon bernilai AS$6.5 bilion (RM26.16 bilion mengikut kadar semasa) untuk 1MDB pada 2012 dan 2013 dan mendapat komisen AS$593 juta (RM2.397 juta).

Leissner mungkin mengaku bersalah terhadap dakwaan mencabuli Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing yang melarang penggunaan rasuah terhadap pegawai asing dengan tujuan mengekalkan atau mendapatkan perniagaan, menurut sumber yang arif dengan kes itu.

Pendakwa akan menentukan sama ada maklumat yang diberi Leissner akan membantu siasatan sebelum setuju dengan rayuan, kata seorang pakar perundangan.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam saman sivilnya mendakwa sejumlah AS$4.5 bilion (RM18.11 bilion) telah diambil daripada dana 1MDB - syarikat cetusan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Leissner dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan Jho Low yang didakwa penyiasat sebagai dalang utama penipuan.

Pada 2016, penyiasat AS sedang menyiasat sama ada Goldman Sachs memperdaya pemegang bon ketika ia menjual cagaran yang dikeluarkan 1MDB.

Dokumen mahkamah AS menyatakan akaun itu digunakan untuk menyalurkan kira-kira AS$1.4 bilion (RM5.64 bilion) daripada dua penjualan bon pada 2012.

Selain AS, pihak berkuasa Singapura juga dilaporkan menyiasat urus niaga bon antara Low dan Leissner.

Leissner meninggalkan Goldman Sachs pada 2015 selepas digantung susulan dakwaan mencabuli dasar syarikat dan dihukum 10 tahun larangan urus niaga di Singapura ekoran kesalahan berkaitan transaksi 1MDB.

"Sejak Leissner digantung, kami mendapati beberapa kegiatan yang dilakukannya secara sengaja disembunyikan daripada pengetahuan firma," kata seorang jurucakap Goldman Sachs.

"Kami akan terus berkerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan," katanya lagi.

Jurucakap bagi Pejabat Peguam AS di Brooklyn dan jurucakap DOJ enggan mengulas perkara ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS