Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zakir Naik ucap terima kasih kepada Dr M
Diterbitkan:  Jul 11, 2018 10:32 AM
Dikemaskini: 2:39 AM

Pendakwah bebas Dr Zakir Naik mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, terutama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana membenarkannya terus berada di negara ini di sebalik tekanan beberapa pihak.

Beliau berkata, keputusan itu menguatkan kepercayaannya terhadap keadilan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan beliau merasa rendah diri kerana dapat menjadi sebahagian daripadanya.

"Saya mengakui sensitiviti yang diperlukan (untuk berada di Malaysia). Saya tidak pernah berhasrat mengganggu atau mengancam keseimbangan ini walau dengan apa cara, atau melanggar undang-undang negara ini," katanya dalam kenyataan.

Pada 6 Julai lalu, Mahathir berkata kerajaan tidak akan mengusir Zakir yang berstatus penduduk tetap - kini dikehendaki kerajaan India - selagi beliau tidak menimbulkan masalah.

Semalam, Mahathir juga berkata tidak akan tunduk kepada desakan pihak yang mahu kerajaan menghantarnya pulang ke India kerana ia memerlukan pertimbangan banyak faktor, termasuk undang-undang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Hassan berkata polis memantau Zakir bagi memastikan tindakan dan kegiatannya yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan negara diketahui mereka.

Dalam pada itu, Zakir sekali lagi menafikan ada membuat sesuatu yang "mencetuskan kenganasan dan kebencian" sepanjang 25 tahun sebagai pendakwah.

Mendakwa tuduhan itu dicetuskan golongan yang mahu menjejaskan imejnya, beliau berkata serangan itu biasanya dalam bentuk keratan rakaman dan imej serta kata-katanya yang diambil di luar konteks.

"Saya meminta sesiapa yang melihat bahan-bahan itu agar mengesahkannya dulu sebelum membuat kesimpulan," katanya lagi.

Zakir didakwa terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka serta pengubahan wang haram.

Kerajaan India telah membatalkan pasportnya setelah beliau tidak mengendahkan permintaan untuk hadir di Badan Penyiasat Kebangsaan India untuk membantu siasatan.

Lihat Komen
ADS