Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Malanjum bumiputera, graduan UiTM, tapi masih tak cukup?’
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 12:07 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Peguam Syahredzan Johan mempertahankan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara yang baru.

Beliau mengingatkan pihak-pihak yang mempertikaikannya bahawa bekas hakim besar Sabah dan Sarawak itu adalah hakim paling kanan di negara ini.

Selain itu, Syahredzan yang juga adalah setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Richard Malanjum adalah seorang bumiputera dan graduan UiTM.

“Ada pihak-pihak mempertikaikan pelantikan YAA Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara. Siap bertanya apa kelayakan Richard untuk dilantik sebagai ketua hakim.

“Bagi saya orang ini sebenarnya bukan peguam atau atau tahu tentang sistem kehakiman pun. Richard adalah ketua hakim Sabah dan Sarawak, seorang 'office bearer' kehakiman dan yang paling senior di kalangan hakim-hakim yang ada.

“Ketua Hakim dari Borneo yang pertama, seorang bumiputera dan graduan UiTM, tetapi masih tidak cukup untuk mereka ini sebab apa? Maka mereka hiasi dengan macam-macam alasan yang sebenarnya tidak boleh dipertahankan langsung,” kataya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau merujuk pihak tertentu yang mempertikaikan lantikan Richard Malanjum dengan membangkitkan keputusan-keputusannya dalam kes-kes terdahulu seperti kes Lina Jo yang merayu supaya pertukaran agamanya kepada Kristian diiktiraf undang-undang.

Mahkamah Persekutuan pada 30 Mei 2007 memutuskan Lina Joy masih Islam dan status agamanya dalam kad pengenalannya, tidak boleh ditukar.

Ketua hakim negara, ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memutuskan bahawa bidang kuasa mengenainya masih dengan mahkamah syariah. Katanya, beliau akur dengan keputusan majoriti 2-1.

Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff yang terakhir membaca penghakimannya, juga bersetuju dengan Ahmad Fairuz. Hakim Datuk Richard Malanjun memberi penghakiman berbeza.

“Kononnya dengan Richard sebagai ketua hakim, jika ada kes-kes seperti ini ia akan 'tidak berpihak kepada Islam' (whatever that means).

“Bagi saya, mereka ini lupa atau buat-buat lupa bahawa keputusan di Mahkamah Persekutuan tidak dibuat oleh seorang hakim sahaja. Dalam kes-kes yang disebut itu pun Richard adalah 'dissenting judge' dan bukan majoriti,” kata Syahredzan.

Beliau juga berkata jika pengkritik Richard Malanjun hadam perlembagaan, mereka akan tahu ketua hakim negara baru itu paling lama sampai April 2019 sahaja.

Richard Malanjum, 65, adalah hakim pertama dari komuniti Kadazandusun di Sabah yang dilantik sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak.

Beliau adalah hakim paling muda yang dilantik menjadi hakim mahkamah persekutuan pada tahun 2005 pada usia 52 tahun.

Beliau akan mencapai umur persaraan 66 tahun pada Oktober tahun ini tetapi tempohnya boleh dilanjutkan selama enam bulan lagi, iaitu sehingga April tahun depan.

Pada masa ini, Richard Malanjum adalah hakim mahkamah persekutuan paling kanan.

Lihat Komen
ADS