Penantian Lina Joy berhubung rayuannya supaya pertukaran agamanya kepada Kristian diiktiraf mengikut undang-undang, berakhir hari ini apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan dia masih Islam dan status agamanya dalam kad pengenalannya, tidak boleh ditukar.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memutuskan bahawa bidangkuasa mengenainya masih dengan Mahkamah Syariah.

Katanya, beliau akur dengan keputusan majoriti 2-1. Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff yang terakhir membaca penghakimannya, juga bersetuju dengan Ahmad Fairuz. Hakim Datuk Richard Malanjun memberi penghakiman berbeza.

Sebelum ini, Jabtan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mahu membuang perkataan 'Islam' pada MyKad Lina.

Menurut JPN, ia perlukan perintah Mahkamah Syariah yang mengesahkan bahawa Lina telah keluar Islam, sebelum jabatan itu dapat berbuat demikian.

Tiga persoalan

Ekoran itu, Lina telah memfailkan saman terhadap ketua pengarah JPN, kerajaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 2001.

Selepas mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan menolak permohonannya, perkara itu telah dibawa ke Mahkamah Persekutuan berhubung tiga persoalan:

1. Adakah JPN berhak meminta seseorang itu mengemukakan sijil atau pengisytiharan atau perintah dari Mahkamah Syariah sebelum membuang perkataan 'Islam" dari kad pengenalannya.

2. Adakah JPN telah mentafsir dengan betul kuasanya di bawah Peraturan Pendaftaran Negara 1990 apabila ia mengenakan syarat di atas, yang tidak dinyatakan dengan jelas dalam peraturan berkenaan?, dan

3. Adakah kes Soon Singh lwn Perkim Kedah di mana telah diputuskan bahawa mahkamah syariah mempunyai bidangkuasa di atas mahkamah sivil untuk mendengar kes-kes keluar dari Islam telah diputuskan dengan betul?

Dalam penghakiman mereka, Ahmad Fairuz dan Alauddin mengatakan 'iya' kepada semua persoalan di atas.

Richard bagaimanapun tidak bersetuju dan menyatakan bahawa JPN tidak mempunyai tanggungjawab herkanun untuk memutuskan soal murtad.

Ahmad Fairuz berkata, JPN yang bertanggungjawab mengeluarkan kad pengenalan, mempunyai hak untuk meminta supaya mahkamah syariah mengesahkan pertukaran agama Lina.

"Mengenai persoalan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai hak untuk menuntut sijil pengesahan dari mahkamah Islam untuk mengesahkan perayu telah keluar dari Islam, jawapan saya ialah JPN mempunyai hak (berbuat demikian)," katanya.

Beliau juga berkata, murtad adalah dalam bidangkuasa undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah.

"Mahkamah sivil tidak boleh campurtangan," katanya.

Pendeknya, kata beliau, Lina tidak boleh sesuka hati memeluk atau bertukar agamaanya tetapi mesti mengikut peraturannya.

Berikutan itu, katanya, mahkamah menolak rayuan Lina.

Laungan Allahuakbar

Sebahagian besar daripada kira-kira 300 orang yang berhimpun di luar bangunan mahkamah membaca tahlil atau membaca al-Quran sementara menunggu keputusan mahkamah.

Apabila dimaklumkan mengenai keputusan tersebut, mereka melaungkan Allahuakbar yang bergema di bangunan mahkamah.

Dilahir oleh keluarga Melayu, Joy, 43, yang nama Islamnya Azlina Jailani, telah memeluk agama Kristian pada 1998. Berita asal