Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kurang apresiasi budaya bukan salah sekolah tahfiz

ULASAN | Sekolah tahfiz tidak boleh terlepas daripada sistem pendidikan kebangsaan. Sistem pendidikan kebangsaan itu pula wajar bermatlamat membina negara dan manusianya.

Seorang guru besar sekolah tahfiz di Kedah pernah menjemput saya untuk bercakap tentang budaya. Khasnya tentang filem.

Saya tidak mengerti sama sekali. Apakah tujuan guru besar itu menjemput saya di sekolahnya? Bercakap di hadapan murid-murid yang memakai jubah dan serban tentang filem. Sementara dia, di satu sudut, turut mendengar celotehan saya.

Beberapa tahun selepas itu, sang guru telah meninggal dunia. Sementara saya ingat betul, dia menerangkan bahawa sekolahnya tidak ada dana daripada kerajaan. Dua biji rumah kos rendah, miliknya, dia ubah menjadi sekolah.

Hafal al-Quran, ilmu dunia

Mungkin hari ini saya menduga, sang guru tidak mahu murid-murid hanya menghafal al-Quran. Sedangkan tidak tahu ilmu dunia yang lain. Sedangkan, semua di antara kita tidak ada pilihan. Kita kini hidup di dunia. Bukan di alam akhirat. Atau lebih tepat lagi, masih bukan di syurga.

Lantaran itu, anak-anak tahfiz wajib mengetahui alat-alat ilmu dunia. Sama ada sains, ilmu kira-kira, perdagangan, cara pengucapan, ilmu bahasa, sehinggalah kepada ilmu filem yang bisanya dilihat jauh dari ilmu agama.

Daripada roh agama dalam Quran, anak-anak diharapkan dapat suatu hari nanti, misalnya membikin filem.

Hari ini, kewujudan sekolah tahfiz dipertikaikan. Sistem pendidikan yang ada dikatakan sudah terbaik. Ah! Tidak semudah itu.

Apa yang perlu ialah sekolah-sekolah tahfiz wajar tidak terlepas daripada sistem pendidikan kebangsaan. Mengajarkan bahasa Melayu. Menceritakan tentang sejarah yang benar mengenai Malaysia.

Lebih jauh lagi, sebuah kesedaran tentang budaya, misalnya, menjadi kewajipan. Agar, selain agama, penuntut agama dan penghafal al-Quran juga boleh hadir ke tengah masyarakat kelak. Secara terhormat.

Ruang kesedaran sedemikianlah yang telah diabaikan di sekolah kebangsaan. Dari darjah satu sampai tingkatan enam atas, tidak pernah sekalipun sebuah filem ditayangkan. Jauh sekali dibincangkan.

Sedangkan filem adalah alat budaya. Bagaimanakah tanpa kemampuan memahami alat budaya, seperti filem, anak-anak kita mampu mengenal budaya?

Di sinilah titik bocornya sistem pendidikan kebangsaan. Anak-anak dibiarkan meraba-raba untuk mengenali apa itu budaya. Kalau pun mereka menonton filem, hanya di rumah. Bukan di sekolah. Filem bukan sebagai alat untuk berbincang. Selalu sekadar hiburan.

Begitulah sampai ke tua, sampai kepada menteri-menteri masih sahaja percaya bahawa filem adalah sebuah hiburan. Tidak lebih daripada itu.

'Filem mendekati maksiat'

Akhirnya, kerana filem adalah sebuah hiburan, maka filem tak semena-mena mendekati maksiat.

Kalau benar filem adalah maksiat dan seni budaya adalah dosa, saya tidak faham mengapa seorang guru sekolah tahfiz masih mahu mengundang saya untuk menerangkan tentang filem?

Dan kalau budaya bukan perkara yang perlu diajarkan serta boleh difahami secara begitu sahaja, maka apa perlunya sebuah institusi yang bernama sekolah sebenarnya?

Apakah sekolah, pada hujung-hujungnya, hanya mahu mengeluarkan robot tanpa hati, jurutera tanpa perasaan dan doktor tanpa cita rasa.

Kalau itulah matlamat sekolah, sama ada tahfiz atau tidak, kita telah memesongkan matlamat pendidikan itu sendiri yakni memanusiakan manusia. Itulah apa yang terjadi di sekolah-sekolah kebangsaan kita. Paling tidak sejak tiga-empat dekad lalu.

'Tukang dan bukan seniman'

Maka, apabila kita ada jurutera, peguam, doktor, mereka mudah hilang hati-budi. Mereka sebenarnya hanya bertaraf 'tukang' dan bukannya 'seniman'.

Sepatutnya tidak! Sepatutnya apa yang kita sebut sebagai golongan profesional wajar bertaraf 'seniman'. Bukan seniman yang menulis, bermain teater atau menjadi pelakon.

Tetapi pada maksud seniman yang sebenar iaitu manusia yang mampu dan berani memggunakan akal di samping hati-budinya sendiri.

Saya tidak mengerti. Sama sekali tidak mengerti mengapa mereka yang membuat dasar pendidikan sebagai roh terpenting bangsa ini, tetap tidak memahami persoalan asas sebegini?

Lebih malang dan celaka, kalau pak menteri semuanya pun menutup mata hatinya.

Kedangkalan lama

Tidaklah kita tahu, Jepun, negara yang maju dalam segala bentuk teknologi dan ilmu sains itu pun tidak akan sehebat itu kalau budaya mereka rendah.

Kalau mereka tidak dapat menerbitkan buku-buku, novel-novel, filem, teater, lukisan, animasi-animasi yang bagus.

Apresiasi tentang hidup ini, termasuklah kemudiaannya tentang sains dan teknologi hanya akan hadir apabila anak-anak kita menghargai dan punya apresiasi terhadap budaya terlebih dahulu.

Kerajaan Pakatan Harapan, yang menurut ceritanya mahu membuka lembaran Malaysia baharu, perlu sedar dan menginsafi kenyataan ini.

Bukan sekadar untuk memanjangkan kedangkalan lama. Nanti takut-takut anak-cucu kita sendiri kencingkan kubur kita, sambil menyalahkan orang-orang tuanya yang berpolitik tidak lebih hanya untuk mendapat kuasa.

Bukan untuk membuat perubahan apa-apa, kecuali suka memakai tanda nama.

 


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS