Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pakatan Harapan dah naik tocang!'
Diterbitkan:  Jul 14, 2018 12:49 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menganggap kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sekarang sudah semakin melampau, terutama ketika berdepan dengan pengkritik mereka.

Kata bekas anggota parlimen Temerloh itu, jika sebelum ini HARAPAN memperjuangkan hak kebebasan bersuara, kini gabungan terbabit bertindak sebaliknya.

Malah kata Nasrudin pemimpin kerajaan mula menunjukkan sifat sebenar mereka selepas berkuasa.

"Dah mula naik tocang! Mabuk dalam kuasa baru," katanya melalui kemas kini hantaran di Facebook.

Mengiringi kenyataan itu ialah pautan kepada berita disiarkan Malaysiakini semalam.

Laporan itu memetik pandangan seorang wakil rakyat PKR mengenai kenyataan Nasrudin berhubung pelantikan individu bukan Islam mengisi tempat penting dalam sektor perundangan negara.

Menurut Gooi Hsiao Leung tiada tempat untuk pemimpin PAS seperti Nasrudin di negara ini kerana mengamalkan budaya politik agama dan perkauman.

Mula sergah sana-sini

Kata anggota dewan undangan negeri Bukit Tengah di Pulau Pinang itu Nasrudin ada "niat yang jelas untuk menyemai kebencian kaum dan agama" di negara ini dengan membuat kenyataan mengenai pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara dan Liew Vui Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri di bahagian undang-undang.

"Ini adalah menyalahgunakan kebebasan bersuara, menyalahi undang-undang dan kata-katanya yang berniat jahat mesti dikutuk sekeras-kerasnya.

"Tiada asas untuk mengatakan tokoh-tokoh yang dihormati itu akan berprasangka atau bertindak secara tidak adil terhadap umat Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka," kata Gooi.


Baca Umat Islam terlepas mulut harimau, dilibas ekor buaya?


Menurut Nasrudin selepas memperoleh kuasa HARAPAN kini tidak lagi membenarkan pihak yang tidak sependapat dengan mereka menyatakan pandangan.

"Apabila dah jadi kerajaan, mula tunjuk taring dan menyergah sana-sini.

"Ermmm, tidak kurasa gerun walau guruh berdentum-dentam," katanya bersemangat.

Lihat Komen
ADS