Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada tempat untuk pelampau agama, kaum dalam Malaysia Baru'
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 10:21 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Seorang ADUN PKR mencabar PAS menyatakan pendirian berhubung kenyataan ketua penerangannya, Nasrudin Hassan yang mempertikai pelantikan individu bukan Islam untuk memegang jawatan penting dalam sektor perundangan dan kehakiman di negara ini.

Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata tiada tempat bagi pemimpin PAS seperti Nasrudin untuk mengamalkan politik agama dan perkauman di negara ini.

Gooi merujuk kenyataan Nasrudin semalam mengenai pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara, Liew Vui Keong sebagai menteri undang-undang dan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

Menurutnya, Nasrudin mempunyai "niat yang jelas untuk menyemai kebencian kaum dan agama" di negara ini dengan membuat kenyataan sedemikian.

"Ini adalah menyalahguna kebebasan bersuara, menyalahi undang-undang dan kata-katanya yang berniat jahat mesti dikutuk dengan bahasa yang paling tegas.

"Tiada asas untuk mengatakan tokoh-tokoh yang dihormati itu akan berprasangka atau bertindak secara tidak adil terhadap umat Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka," kata Gooi kepada Malaysiakini.

Semalam, Pemimpin PAS itu berkata, pelantikan individu bukan Islam dalam jawatan penting sistem perundangan dan kehakiman, menyebabkan keresahan di kalangan umat Islam.

“Sudahlah Islam terumbang-ambing di zaman kerajaan BN dahulu, ternyata kini perubahan yang dilaungkan itu rupanya ke arah yang lebih teruk dan buruk.

“Apakah situasi ini meletakkan umat Islam terlepas dari mulut harimau lalu dilibas ekor buaya?” soal Nasruddin.

Gooi menegaskan bahawa peranan ketua hakim, menteri undang-undang dan peguam negara adalah untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, perlembagaan persekutuan dan mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau menambah: "Bukan tugas mereka untuk mewakili hanya satu kaum atau agama. Tidak ada ruang untuk pelampau agama dan perkauman dalam Malaysia baru".

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS