MAFREL pantau pilihanraya kecil Pengkalan Pasir
Badan Pemantau Pilihanraya Rakyat Malaysia (MAFREL), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, akan menghantar pasukan pemantau bagi mengawasi pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.
Badan Pemantau Pilihanraya Rakyat Malaysia (MAFREL), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, akan menghantar pasukan pemantau bagi mengawasi pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.
Pengerusinya, Abd. Malek Hussin berkata, 16 pemantau rasmi MAFREL akan berada di kawasan pilihanraya tersebut mulai hari penamaan calon Ahad ini hingga hari mengundi pada 6 Disember depan.
Katanya, anggota rasmi badan pemantau itu akan ditempatkan di semua 10 daerah mengundi di Pengkalan Pasir untuk memantau pendaftar pemilih, kempen pilihanraya dan keadaan pada hari mengundi.
"Anggota MAFREL akan dibantu oleh ramai pemantau tidak rasmi. Tujuan kerja pemantauan ini adalah bagi memastikan satu proses pilihanraya yang bebas, adil, berwibawa dan aman dilaksanakan.
"Kita juga mahu memastikan semua calon dan parti yang bertanding mematuhi peraturan dan undang-undang pilihanraya," katanya kepada malaysiakini hari ini.
Menurut Malek lagi, anggota MAFREL bukan sahaja menjadi pemerhati tetapi juga akan membantu mana-mana pihak untuk membuat aduan berhubung salahlaku calon atau parti kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah.
MAFREL juga katanya, akan membuat hebahan akhbar kepada media setiap hari bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat proses pilihanraya ini dari masa ke semasa.
Menyentuh skop pemantauan, Malek berkata, ia tertumpu kepada tiga aspek daftar pemilih, perjalanan kempen pilihanraya dan perjalanan proses mengundi.
'Pengundi hantu'
Beliau menjelaskan, pemantauan proses mengundi pula terbahagi kepada tiga aspek mengenalpasti pengundi, memantau persekitaran tempat mengundi dan proses pengiraan serta penjumlahan undi.
"Kami mahu memastikan tiada pengundi hantu pergi mengundi dan tidak berlaku keadaan kelam-kabut semasa pengundian berjalan.
"MAFREL mempunyai cara dan makanisme sendiri untuk mengenalpasti pengundi hantu. Kami mahu pastikan setiap pengundi yang sah, mendapat hak mereka untuk mengundi pada 6 Disember nanti,"katanya.
Para pemantau MAFREL juga katanya, akan memastikan tidak berlaku penyalahgunaan jentera kerajaan, rasuah politik dan pelanggaran peraturan pilihanraya.
Selain itu, isu had pembelanjaan pilihanraya yang melampau juga akan ditekankan oleh MAFREL bagi memastikan seksyen 19 (1) (b) dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dipatuhi.
Katanya, di bawah seksyen tersebut, had perbelanjaan bagi seorang calon yang bertanding dalam pilihanraya negeri ialah tidak melebihi RM100,000.
Anggota pemantau MAFREL terdiri daripada wakil badan bukan kerajaan seperti Angkata Belia Islam Malaysia (Abim), Kesatuan Pengundi Malaysia, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dan Pemantau Demokrasi serta individu berwibawa dan berpengalaman.
MAFREL katanya, mengambil pendekatan bebas, berkecuali dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana calon.

