Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya tidak tahu akan hidup atau mati lepas beri keterangan'

Tertuduh terakhir dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais melahirkan rasa takutnya kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan berkata dirinya mungkin mati selepas perbicaraan hari ini.

“Selepas memberikan keterangan, saya tidak tahu sama ada saya akan hidup atau mati.

“Ini mungkin testimoni saya yang terakhir,” kata S Ravi Chanderan kepada Hakim Datuk Azman Abdullah tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Chanderan juga memohon perbincangan lanjut dengan hakim mengenai kebimbangannya sebelum pemeriksaan balas oleh peguam V Rajehgopal, tetapi ditolak.

Hakim kemudian memberitahu Chanderan untuk bercakap dengan Rajehgopal jika mempunyai masalah.

[Baca berita penuh]

Peguam suruh mengaku bunuh Kevin Morais - kata tertuduh keenam

Semalam, mengikut laporan Bernama, tertuduh keenam dalam kes itu mendakwa dirinya bukan sahaja diugut oleh pegawai penjara supaya mengaku bersalah membunuh Kevin Morais, tetapi turut diminta melakukan perkara sama oleh beberapa peguam

S Nimalan, 25, berkata peguam-peguam tersebut datang berjumpanya dan memberitahu perkara tersebut.

“Tiada ugutan dibuat. Cuma saya disuruh untuk mengaku salah,” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Datuk N Sivananthan pada prosiding membela diri hari ke-14.

Tanpa menyatakan siapakah peguam terbabit, saksi pembelaan kelima itu berkata kejadian tersebut berlaku pada tahun 2015 dan ketika itu dia belum melantik mana-mana peguam untuk mewakilinya dalam kes itu.

Kepada soalan Sivananthan adakah tertuduh pernah membuat pengakuan bersalah, tertuduh menjawab tidak, termasuk ketika ditawarkan pertuduhan alternatif oleh pihak pendakwaan pada tahun 2016.

Mengenai mengapakah tertuduh tidak menerima pertuduhan alternatif yang ditawarkan itu, Nimalan berkata keputusan itu dibuat setelah dia berunding dengan peguamnya yang dilantik selepas itu.

“Jay (G Gunasekaran yang merupakan bekas tertuduh kedua yang telah bebas) juga ada beritahu saya supaya tidak mengaku salah kerana saya tidak melakukan apa-apa (kesalahan),” katanya.

Pada 28 Mac 2016, Nimalan, bekas pelajar kolej, ditawarkan pertuduhan alternatif iaitu membantu menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan bernombor WA6264Q dengan niat untuk mengelakkan enam tertuduh lain daripada diambil tindakan undang-undang.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Gunasekaran, turut ditawarkan pertuduhan alternatif yang sama dan telah mengaku bersalah atas pertuduhan itu serta dijatuhi hukuman penjara dua tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Sept 2015.

R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath; Nimalan, S Ravi Chandaran, dan doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, lima tertuduh, Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan dan Ravi Chandaran, 47, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk NSivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

 

 

Lihat Komen
ADS