Paling Popular
Terkini

ULASAN | Salah satu faktor yang menjadi duri dalam daging hubungan Malaysia-Indonesia ialah sentimen perseteruan Melayu-Jawa yang masih disuburkan sesetengah pihak.

Ia merupakan sentimen klasik yang menghantui usaha perpaduan sebenar rumpun Melayu di Nusantara ini, sungguhpun secara diplomatiknya Malaysia dan Indonesia masih dikira negara bersahabat.

Jarang ada pengkaji sejarah kedua-dua belah negara yang mahu mengetengahkan fakta sejarah hubungan baik kedua-dua komuniti penduduk asal Nusantara tersebut, seolah-olah Jawa dan Melayu itu bagaikan air dengan minyak yang tidak mungkin punya sejarah baik bersama.


Baca: Runtuhnya Srivijaya


Walhal sejarah membuktikan hubungan Jawa dan Melayu itu saling berkait sejak zaman Srivijaya lagi.

Malah apabila kita semua bersatu, rumpun Melayu mampu mempertahankan Nusantara dari pencerobohan bangsa asing.

Sempena bulan kemerdekaan Malaysia dan Indonesia ini, mari kita lihat sejarah baik antara Jawa dan Melayu suatu ketika dahulu:

Setelah kejatuhan empayar Chermin

Setelah kejatuhan empayar Chermin (Langkasuka) di utara dan pantai timur semenanjung, kerajaan Thai Ayutthaya cuba menakluki keseluruhan Nusantara (Alam Melayu).

Mereka cuba merentasi lautan untuk menjajah Pulau Jawa. Perhitungan mereka silap besar apabila mereka telah bertemu dengan armada Majapahit.

Kekuatan maritim Majapahit berjaya mematahkan serangan Ayutthaya. Tentera penjajah bangsa Thai tersebut dikejar oleh perajurit-perajurit Majapahit sehingga kembali ke utara semenanjung.

Ketika itu pasukan tentera empayar Majapahit diketuai oleh "perdana menterinya" yang digelar Mahapatih Gadjah Mada.

Sebab itu nama tokoh ini disebut juga dalam buku teks sejarah Malaysia di sekolah, kerana ia ada kena mengena dengan sejarah semenanjung pra-Melaka.

Mahapatih Gadjah Mada dan tentera empayar Jawa Majapahitlah yang telah membebaskan wilayah-wilayah bekas Empayar Melayu Langkasuka-Chermin di utara semenanjung dari cengkaman empayar Thai Ayutthaya.

Mahapatih Gadjah Mada memerdekakan kawasan Kelantan dan memberi gelaran kepada kerajaan baru Kelantan yang terbentuk itu dengan panggilan Majapahit Barat.

Kerajaan Kelantan Majapahit Barat tersebut menguasai kembali wilayah-wilayah bekas Empayar Langkasuka-Chermin dahulu, dan akhirnya Kerajaan Kelantan Majapahit Barat ini menukar namanya kepada Kerajaan Chermin-Jiddah kerana kedudukan pusat kerajaan ini bernama Jiddah di Kelantan.

Kerajaan Melayu ini sebahagian dari naungan Empayar Majapahit yang berpusat di Pulau Jawa.

Pada tahun 1357, Raja Bharubhasa sebagai pemerintah Chermin-Jiddah (Kelantan) bergabung kekuatan ketenteraan dengan pasukan tentera Jawa Empayar Majapahit yang diketuai Mahapatih Gadjah Mada.

Mereka mara ke arah utara Segenting Kra memerangi tentera-tentera penjajah bangsa Thai sehingga kedua-dua pihak rumpun Melayu tersebut berjaya menakluk kota Ayutthaya, pusat pentadbiran empayar bangsa Thai.

Kota itu diduduki nenek-moyang kita tersebut buat sementara waktu. Hubungan antara etnik Jawa dari empayar Majapahit dengan etnik Melayu Kelantan-Patani (juga dikenali sebagai etnik Melayu Yawi/Jawi) terbina sangat erat sekali.

Sehingga kini keris kebesaran istana Kelantan yang bernama Keris Pelangi Merbo juga digelar sebagai Keris Majapahit, simbol empayar gabungan bersama rumpun Melayu menentang siri penjajahan empayar Bangsa Thai dari arah utara.

Setelah memeluk Islam, Sultan Baki Shah putera dan pengganti kepada Raja Bharubhasa telah menghantar rombongan diraja bersama ulama-ulama untuk membawa syiar Islam kepada empayar Majapahit sebagai membalas budi pertolongan Majapahit terhadap Melayu keturunan Langkasuka-Chermin di semenanjung ketika menghadapi pencerobohan kerajaan Thai Ayutthaya.

Dari sejarah inilah lahirnya sebilangan wali-wali Songo yang berdakwah sekitar Pulau Jawa, khususnya dan Nusantara, amnya.

Pernikahan Sultan Iskandar-Suhita

Cucu Raja Bharubhasa, Sultan Iskandar Shah (Raja Kemas Jiwa) telah bernikah dengan Suhita iaitu cucu Bentara (Raja) Majapahit yang teragung, Hayam Wuruk pada tahun 1427.

Raja Kemas Jiwa meninggalkan tempat asalnya, Kelantan, untuk bersemayam bersama permaisurinya di Pulau Jawa.

Pentadbiran kerajaan Chermin-Jiddah diserahkan kepada abangnya, Sultan Sadik Muhammad Shah.

Setelah masa berlalu, kerajaan Chermin-Jiddah di Kelantan itu menghadapi serangan berskala besar, sekali lagi dari bangsa Thai.

Pada tahun 1429, Sultan Sadik Muhammad Shah meninggal dunia menyebabkan adiknya Raja Kemas Jiwa yang berada di Pulau Jawa terpaksa kembali ke semenanjung untuk menyelamatkan kerajaan nenek moyangnya di Kelantan itu.

Sekembalinya Raja Kemas Jiwa di Kelantan, baginda menamakan kerajaan di negeri itu sebagai kerajaan Majapahit II, mungkin untuk menunjukkan perkaitan dirinya yang bernikah dengan cucu Hayam Wuruk tersebut.

Pusat pentadbiran Kelantan ketika itu ialah di Kota Mahligai dekat Bachok. Ketika itu Kota Bharu belum wujud lagi.

Sewaktu zaman kerajaan Majapahit II diperintah oleh Sultan Mansur Syah, Kelantan yang telah dilemahkan oleh serangan bertubi-tubi Bangsa Thai itu telah diserang pula sebanyak dua kali oleh empayar Melayu Melaka yang sedang meluaskan dominasinya bawah sultannya yang terakhir dan zalim iaitu Sultan Mahmud Syah.

Maka jatuhlah Kelantan di tangan Melaka, hanya untuk sementara waktu sebelum Melaka pula jatuh di tangan Portugis beberapa tahun setelah itu.

Kemerosotan Majapahit, kebangkitan Melaka

Ketika empayar Majapahit di Pulau Jawa itu pun mengalami kemerosotan teruk, empayar Melayu Melaka meluaskan pengaruhnya di kawasan-kawasan yang pernah berada bawah naungan Majapahit.

Lebih seabad setelah kejatuhan Majapahit II di Kelantan akibat serangan Melaka, di Patani lahirlah apa yang dinamakan Persekutuan Patani Raya.

Raja Sakti I dari Kota Mahligai, Kelantan telah mengasaskan penubuhan persekutuan tersebut.

Baginda memindahkan pusat pemerintahan Persekutuan tersebut dari Kota Mahligai ke Patani.

Persekutuan Patani Raya telah berjaya menakluki semula tanah bekas jajahan empayar Melayu Melaka yang telah terbebas apabila empayar Melayu itu jatuh diserang Portugis.

Antara wilayah-wilayah yang berjaya dinaungi Persekutuan Patani Raya itu tadi ialah Kelantan, Terengganu dan sebahagian utara Pahang.

Di selatan Semenanjung Tanah Melayu pula terbentuknya empayar Johor-Riau-Lingga yang merupakan sebuah empayar lebih kecil hasil dari kejatuhan empayar Melayu Melaka tersebut.

RUJUKAN:

1) http://www.iwm.org.uk/collections/item/object/205059301

2) https://archive.org/details/kelantanstateofm00grah

3) http://www.muzium.kelantan.gov.my/v2/index.php…

4) http://archive.li/TBDRU

5) https://www.royalark.net/Malaysia/kelantan.htm

6) http://ukmpress.ukm.my/index.php…

7) https://ceritakankelantan.wordpress.com/…/catatan-ibnu-bat…/

8) http://pp-sk.blogspot.my/…/lagenda-che-siti-wan-kembang-131…

9) https://www.britannica.com/biography/Raja-Haji


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merangkap ketua Biro Integriti Pemudanya.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS