Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jokowi dicabar Prabowo lagi, 2 tokoh baru dihadirkan
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 5:43 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

GLOBAL | Prabowo Subianto akan sekali lagi mencuba nasib untuk menjadi presiden Indonesia apabila hari ini namanya didaftarkan untuk menyertai pilihan raya negara terbabit.

Cuma, berbeza daripada suasana 2014, menyertai kempen Prabowo kali ini ialah Timbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Uno, yang lebih kelihatan seperti anaknya.

Untuk rekod Prabowo ialah bekas panglima tentera Indonesia dan pemimpin parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) itu sudah berusia 66 tahun.

Sandiaga pula seorang ahli perniagaan dan tersenarai sebagai orang ke-29 terkaya di Indonesia pada 2009. Menurut majalah Forbes, pada 2011 nilai harta lepasan Universiti Wichita, AS, itu ialah semahal AS$660 juta

Dia kini berusia 49 tahun dan menganggotai Gerindra.

Pasangan itu bakal mencabar Joko Widodo - atau lebih dikenali dengan nama Jokowi - yang kini memilih tokoh ulama Indonesia sebagai pasangannya.

Kali ini Jokowi, 57, menjadikan Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI), Ma'ruf Amin, 75, sebagai pasangannya.

Regu Jokowi pada 2014 ialah Jusuf Kalla.

Masing-masing ada kelebihan

Tidak seperti Malaysia, Indonesia mengadakan pilihan raya umum untuk menentukan presiden negara berkenaan. Mereka juga mengadakan pilihan raya umum untuk memilih pemimpin kerajaan tempatan serta ketua di peringkat daerah.

Tarikh pilihan raya berkenaan juga dimaklumkan kepada orang ramai jauh lebih awal supaya semua pihak yang terlibat dapat membuat persiapan sepatutnya.

Pemilihan kali ini juga menyaksikan kecenderungan paksi Prabowo dan Jokowi mencari tokoh Islamik sebagai pasangan.

Terdahulu tokoh Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Salim Segaf Al Jufri disebut-sebut bakal digandingkan dengan Prabowo. Kemudian pendakwah yang turut terkenal di Malaysia, Abdul Somad.

Namun akhirnya Prabowo memilih Sandiaga.

Isu agama memang melatari politik Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah ia turut menyumbang kepada kemenangan pasangan Anies Baswedan - Sandiaga bagi jawatan gabenor dan timbalan gabenor Jakarta.

Sentimen itu mendorong penyandang Basuki Tjahaja Purnama - atau Ahok - kalah dan disumbat ke penjara atas dakwaan menghina agama.

Penganalisis dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) Indonesia, Arya Fernandes, berpendapat ketika ini kelebihan berpihak kepada pasangan Prabowo - Sandiaga.

Alasannya Sandiaga membawa imej yang lebih segar dan muda daripada kalangan usahawan.

"Saya kira, Sandi membawa pembaharuan politik. Dia membawa generasi baru, elit politik Indonesia dari kalangan pengusaha profesional yang memilih masuk politik praktis," katanya dipetik detikcom hari ini.

Tidak kurang pentingnya kata Arya, Sandiaga mudah menyesuaikan diri dengan pemilih generasi baru dan memahami kehendak pengundi kali pertama.

Menurut Arya di pihak Prabowo pula dia percaya corak kempen calon terbabit akan mengelak daripada menyentuh isu keagamaan kerana ia hanya akan memberi kelebihan kepada Jokowi yang berpasangan dengan ulama.

Namun pada masa sama, katanya, pendekatan itulah juga yang boleh menjejaskan Prabowo - Sandiaga.


Baca Jokowi tak khuatir Dr M pandu kereta 180km sejam


Mengenai pasangan Jokowi - Ma'ruf, Arya berpendapat presiden ketujuh Indonesia itu berasa bimbang dengan isu-isu keagamaan di negara ini.

Justeru, katanya, Jokowi memilih Ma'ruf sebagai pertaruhannya mengumpul sokongan majoriti pengundi Indonesia.

Untuk rekod, akidah Jokowi pernah dipertikaikan semasa kempen pemilihan presiden empat tahun lalu sehingga kumpulan yang berkempen untuknya terpaksa menunjukkan bukti bahawa dia beragama Islam.

Menurut Arya, kehadiran Ma'ruf di sisi Jokowi hanya akan memberi kesan signifikan jika lawan mereka menggunakan isu agama dalam kempen.

"Kalau Prabowo mengubah narasi kempennya, tentu kedudukan Ma'ruf kurang diperhatikan pemilih," katanya.

Lihat Komen
ADS