Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perkasa mahkamah syariah tak boleh tinggalkan RUU355'

Hasrat kerajaan persekutuan untuk memperkasakan mahkamah syariah secara menyeluruh disambut baik kerajaan PAS Kelantan.

Bagaimanapun menurut Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Datuk Hassan Mohamood pelaksanaannya tetap perlu dilakukan melalui Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

"Kita setuju memperkasakan (mahkamah syariah) tapi RUU355 tetap perlu diutamakan upaya masalah-masalah gejala sosial yang berlaku dapat dikurangkan dan dihapuskan. Salah satu caranya dengan RUU355," katanya ketika ditemui media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Tawang berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Bercakap di Dewan Rakyat baru-baru ini Mujahid berkata, usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak sesuai bagi kerangka mahkamah syariah dan tidak holistik (bersifat menyeluruh).

Menurutnya, sebelum melihat isu meningkatkan hukuman syariah, pihak kerajaan perlu melihat isu kecekapan hakim dan pendakwa raya mahkamah syariah

"Kami akan cuba terapkan, kami lebih lihat isu pemerkasaan mahkamah syariah secara holistik," katanya, sambil menambah sistem mahkamah syariah tidak memiliki infrastruktur untuk mengendalikan peningkatan jumlah hukuman itu.

Sementara itu, Hassan berkata, isu jawatankuasa teknikal RUU355 yang diwujudkan antara Kelantan dan kerajaan pusat kini terserah kepada pentabiran baru di peringkat persekutuan itu.

"Untuk jawatankuasa teknikal bersama kerajaan persekutuan itu terserah pada mereka.

"Peluang terserah pada kerajaan persekutuan, kita akan terus berusaha.

"Kerajaan negeri tidak akan berputus asa dan akan berusaha supaya RUU355 dapat dibentangkan diluluskan di parlimen dan dilaksanakan, insya-Allah," katanya.

Kerajaan BN sebelum ini memberikan tiga kali peluang untuk membolehkan Hadi membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta 355.

Pada April tahun lepas, Dewan Rakyat menangguhkan pembentangan dan berkata ia akan dibahaskan pada sesi berikutnya.

PAS berhasrat menaikkan hukuman bagi kesalahan syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan, berbanding hukuman sekarang yang memperuntukkan penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Lihat Komen
ADS