Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS gesa KKM tak ambil tindakan pada Dr Ilyani
Diterbitkan:  Aug 12, 2018 6:00 PM
Dikemaskini: 5:46 PM

PAS menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak mengenakan sebarang tindakan tatatertib atau pentadbiran ke atas doktor perubatan, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi berikutan ‘surat terbuka’ beliau kepada aktivis sosial, Marina Mahathir, baru-baru ini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ini kerana beliau percaya aduan yang dibuat ke atas Dr Ilyani itu tidak berasas sama sekali.

Kata Siti Zailah, ia juga disifatkan sebagai usaha untuk menyekat pandangan terbuka doktor berkenaan.

“Dalam hal ini, sebagai seorang rakyat Malaysia, bahkan mewakili suara majoriti rakyat Malaysia dan polisi semasa negara, saya percaya beliau dijamin hak menyuarakan pandangan secara bebas dan terbuka.

“Beliau juga dalam menyuarakan pandangannya sama sekali tidak menolak keperluan dakwah dan pemulihan kepada golongan LGBT ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi hantaran yang dimuat naik pada 6 Ogos lalu, Dr Ilyani lantang mengkritik desakan Marina yang mahukan hak kesamarataan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), sama seperti dinikmati rakyat negara ini.

'Surat terbuka' telah dipadamkan

Hantaran yang dianggap sebagai ‘surat terbuka’ itu mendapat lebih 4,000 tanda suka dan 2,700 perkongsian di Facebook, namun telah ‘dipadamkan’ tidak lama kemudian dipercayai selepas menerima aduan.

Tidak hanya di Facebook, aduan terhadap surat terbuka Dr Ilyani juga telah dibuat kepada Biro Pengaduan Awam, yang memungkinkan beliau dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak kementerian kesihatan.

Mengulas lanjut, Siti Zailah yang juga Anggota Parlimen Rantau Panjang berkata, sikap berani yang ditonjolkan Dr Ilyani dalam menyatakan pendirian selayaknya mendapat pujian, bahkan diberi perhatian khusus oleh kerajaan.

“Sehubungan itu, kami Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan menyatakan sokongan dan solidariti kami terhadap prinsip yang diperjuangkan oleh Dr Nur Ilyani dan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia dan NGO yang berada pada prinsip yang sama turut menyatakan sokongan dan solidariti,” katanya.

KKM tiada diskriminasi

Ketua Pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata, bukan prinsip kementeriannya untuk mendiskriminasi hak golongan terbabit.

“KKM mengambil maklum mengenai seorang doktor yang menyatakan pendiriannya berkenaan LGBT di laman facebook beliau.

“Adalah dimaklumkan KKM berpegang pada prinsip tidak ada diskriminasi ke atas mana-mana agama, bangsa mahupun kumpulan masyarakat dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan,” katanya menerusi laman twitter beliau.

Pendapat disuarakan Dr Nur Ilyani itu terdahulu menerima kritikan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Dr Adeeba yang mengetuai Yayasan AIDS Malaysia menasihati Nur Ilyani membaca lebih lanjut mengenai kemajuan dalam rawatan HIV.

Selain itu beliau juga mengingatkan Dr Ilyani agar memenuhi ikrar sebagai seorang pengamal perubatan.

"Walaupun seluruh dunia bercakap tentang kemungkinan menamatkan wabak AIDS, orang seperti anda, dan lebih buruk lagi, doktor seperti anda, membuat wabak ini lebih buruk, kerana anda menghalang orang daripada tampil ke hadapan untuk bantuan dan rawatan," katanya dalam jawapannya kepada hantaran Dr Nur Ilyani.


Baca: KKM tak diskriminasi LGBT


Sementara itu, bekas timbalan dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar pula mempertahankan pendirian Dr Ilyani.

Beliau berkata, pihaknya kesal apabila mesej mudah Dr Nur Ilyani di Facebook telah disalahtafsir dengan hujah beliau seorang individu yang menghakimi orang lain.

Katanya adalah jelas Dr Ilyani menyatakan beliau tidak membezakan pesakit berdasarkan orientasi seksual dan identiti jantina mereka.

"Sering kali, individu atau kumpulan ini dilabelkan sebagai pentaasub, pelampau agama dan menyebarkan kebencian walaupun ini dilakukan dengan niat memberi nasihat kepada orang ramai," katanya.

Lihat Komen
ADS