Paling Popular
Terkini

ULASAN | Kali pertama saya mendengar respon Marina Mahathir kepada media apabila ditanya tentang isu LGBT dan kenyataan Datuk Dr Mujahid Yusof baru-baru ini, secara umumnya saya boleh menerima apa yang dilontarkan beliau.

Alasan saya antaranya seperti berikut:

Pertamanya beliau ditanya oleh media dan bukan mencari media untuk menyebarluaskan ideanya.

Bagi saya, beliau tidak pun sengaja mahu menimbulkan kekecohan atau polemik dalam isu ini, atau mengganggu ketenteraman minda masyarakat.

Kedua, beliau menekan satu isu utama yang sebenarnya dikongsi oleh kita semua iaitu hak kewarganegaraan.

Tidak sewajarnya penampilan dan pilihan gaya hidup mereka dijadikan alasan untuk menafikan hak-hak asas seseorang sebagai warga Malaysia.

Hak apakah yang dibicarakan? Marina memberi contoh bahawa hak sebagai rakyat Malaysia perlu diberikan kepada mereka di sekolah, hospital dan tempat kerja.

Berkongsi hal-hal asas

Termasuk juga sekiranya mereka menjadi mangsa jenayah atau gangguan hidup, mereka hendaklah dilayani dengan baik oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia.

Ya, kita pantas bertanya: apakah selama ini hak mereka sebagai rakyat Malaysia dinafikan sama sekali?

Saya percaya, sama ada mereka memperolehnya secara penuh atau terpilih, sesiapa sahaja boleh membicarakan tentang hak kewarganegaraan sesiapa sahaja di kalangan rakyat Malaysia.

Justeru dari awal saya tidak bermasalah dengan idea yang dilontar Marina.

Beliau juga menegaskan beberapa kali, LGBT di Malaysia berbeza dengan LGBT di luar negara. Apa yang mereka pinta ialah sama seperti rakyat Malaysia lain iaitu hal-hal asas yang dikongsi bersama, dan bukannya seperti tuntutan di barat.

Contoh yang dituntut golongan LGBT di barat ialah mengharuskan perkahwinan pasangan gay dan lesbian. Jika ini dilakukan, ia benar-benar melanggar norma-norma Malaysia.

Golongan terbabit, menurut Marina, tidak agresif menuntut hak tetapi masih berlaku diskriminasi berasaskan penampilan, andaian dan stigma.

Hujah akhir Marina, golongan LGBT - khususnya transgender - menerima tekanan hidup yang berat apabila keluarga sendiri membuang mereka. Justeru, mereka juga tersepit untuk terus hidup seperti warga Malaysia yang lain.

Namun Marina tidak pula menyatakan pendiriannya terhadap kelompok ini. Apakah beliau merestui pilihan hidup mereka?

Tanpa penjelasan tuntas, masyarakat - khususnya pelayar internet - dengan mudah mendakwa Marina memperjuangkan LGBT di Malaysia.

Kenyataan memperjuangkan hak LGBT dengan mudah ditafsirkan oleh masyarakat kita sebagai memperjuangkan amalan songsang, melawan hukum Allah, menghalalkan kerosakan akhlak dan meneruskan agenda Yahudi.

Bawa isu berbeza

Maka berlaku serangan bertubi-tubi terhadap Marina. Masalahnya, isu pokok yang dibincangkan - iaitu hak sebagai seorang rakyat Malaysia - terus terlindung dan terlupakan.

Apakah saya ini mempertahankan Marina? Jika soalan itu anda kemukakan sebaik saja membaca artikel ini, jawapan saya tentulah tidak.

Jika saya menjawab ya, ia akan ditafsirkan bahawa saya juga mempertahankan amalan songsang LGBT sedangkan saya sebenarnya ingin mempertahankan sikap teliti dan berdisiplin ketika mengupas apa-apa isu yang sensitif dan membawa natijah besar dalam negara. Supaya akhirnya nanti, penyelesaian terbaik dapat kita perolehi bersama-sama.

Kemudian disebarluaskan dalam ruangan media sosial tentang respon seorang doktor terhadap Marina. Saya tidak pasti beliau memahami isi sebenar ucapan Marina itu atau tidak.

Beberapa kali beliau bertanya hak LGBT yang mana diperjuangkan Marina.

Beliau memberi respon kepada Marina, tetapi membawa isu yang berbeza iaitu pengiktirafan seks bebas, penghidap HIV di kalangan LGBT, derma darah dan promosi gaya hidup songsang sebegini di media.

Ya, doktor tersebut wajar sangat untuk membangkitkan isu ini di ‘wall’ beliau, ataupun menulis surat terbuka kepada masyarakat Malaysia untuk diberi perhatian serius.

Namun, sekiranya ia mahu ditujukan khas kepada Marina, beliau perlu menjawab isu hak-hak yang dibangkitkan Marina lebih awal. Cuma ada satu hujah doktor tersebut yang wajar diambil perhatian Marina dan masyarakat: bahawa golongan ini diberi layanan yang baik - sama seperti rakyat Malaysia yang lain - apabila dirawat di hospital.

Namun, hujah-hujahnya yang lain sekadar satu luahan yang sebenarnya masih belum dianggap respon terbaik kepada kenyataan Marina tersebut.

Jangan salah faham

Malangnya ia ditularkan dengan meluas sehingga isu pokok gagal dibincang dengan tuntas oleh masyarakat.

Apakah doktor tersebut bersetuju bahawa hak mereka dinafikan sebagai warga Malaysia kerana mereka pembawa HIV atau kerana mereka merosakkan minda anak?

Kita mesti mencari penyelesaian kepada isu ini, bukan berterusan meletakkan sesiapa sahaja dengan mudah dalam kandang orang yang bersalah.

Saya mengakhiri komentar ini dengan tetap memberikan kredit yang wajar kepada doktor tersebut kerana membangkit isu-isu tadi, tetapi dengan saya melihatnya melalui perspektif berbeza. Bukan sebagai respon kepada Marina atau isu hak sebagai rakyat Malaysia.


Baca KKM tak diskriminasi LGBT, kata KP


Saya melihatnya sebagai respon masyarakat majoriti kepada golongan LGBT dan kehendak majoriti ialah, rakan-rakan yang memilih gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender sewajarnya berfikir semula untuk kembali kepada fitrah kejadian insan yang jelas jantina dan nalurinya.

Jika berlaku kekhilafan atau kekeliruan, bagi rakan-rakan Muslim, agama kita sudah menyediakan 'prosedur operasi standard' (SOP) yang sangat jelas untuk menentukan status kita dan keinginan naluri bagaimana yang mesti dibangunkan di dalam diri.

Jangan lagi rakan-rakan transgender meyakini bahawa mereka adalah wanita yang terperangkap dalam tubuh lelaki atau lelaki yang terpenjara dalam tubuh wanita.

Akhirnya marilah kita menjadi rakyat Malaysia yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin besar negara kita seperti Tun Dr Mahathir Mohamad atau atlet kebanggaan seperti Datuk Lee Chong Wei melalui gaya hidup sihat, normal dan sejahtera.


LEBAI HAJI TAIB ialah nama pena pegawai syarikat takaful lepasan pengajian Islam dari universiti luar negara dan kini terlibat dalam kerja-kerja dakwah bersama komuniti Chow Kit.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS