Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan WSJ tak beretika, didalangi Mahathir, kata Jho Low
Diterbitkan:  Aug 17, 2018 11:32 PM
Dikemaskini: 3:39 PM

Ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho membidas akhbar Wall Street Journal (WSJ) kerana menerbitkan artikel yang mendakwa dia menyembunyikan diri di China selepas PRU ke-14.

Walaupun tidak menafikan dakwaan dalam artikel itu, Low - menerusi kenyataan oleh jurucakapnya hari ini - menuduh penulis akhbar itu telah melanggar etika kewartawanan dan membuat laporan demi kepentingan peribadi.

Dia merujuk kepada buku bertajuk Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World yang bakal diterbitkan September ini, oleh penulis WSJ Tom Wright dan Bradley Hope, yang telah membuat liputan berkaitan 1MDB dan Low sejak 2015.

"Artikel WSJ hari ini jelas didalangi oleh regim Mahathir, yang bekerjasama dengan wartawan untuk satu matlamat: wartawan WSJ mahu menjual buku mereka yang akan terbit bulan depan, sementara Mahathir mempunyai agenda politik korup dengan menyabitkan bersalah tanpa sebarang bentuk proses perundangan.

"Berkenaan WSJ, ia pelanggaran terhadap etika kewartawanan yang nyata. ada konflik kepentingan yang jelas dalam membenarkan wartawan - yang mempunyai kepentingan kewangan dalam perkara ini - untuk membuat laporan tentang perkara sama.

"Setiap fakta yang menghalang tema buku mereka diabaikan, sementara mana-mana sumber - walaupun dengan kepentingan peribadi - yang menyokong jalan cerita mereka akan dipercayai," kata jurucakap itu.

Kenyataan itu dikeluarkan melalui firma perhubungan awam Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs yang berpangkalan di Sydney, Australia.

'Low tak akan serah diri'

Sementara itu, Low berkata dia tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di mana-mana mahkamah di negara yang menjalankan siasatan terhadap 1MDB.

"Ditegaskan sekali lagi: Low tidak akan menyerahkan diri di mana-mana negara di mana dia telah disabitkan bersalah oleh politik dan kepentingan peribadi yang melangkaui proses undang-undang," kata jurucakap itu lagi.

Laporan WSJ memetik pihak yang tahu akan pergerakan Low yang mendakwa dia bersama-sama isteri dan dua anak telah meninggalkan Macau selepas "terkejut" dengan kekalahan BN pada PRU ke-14.

"Di sebuah penthouse, pekerja dan ahli keluarga mengemaskan dokumen ke dalam beg-beg sementara dua lelaki Cina yang sasa mengendalikan soal logistik Low melalui komputer riba.

"Ketika mereka meninggalkan tempat itu, seorang pembantu Low menyapu alkohol di meja untuk memadamkan kesan cap jari," kata salah seorang yang dipetik WSJ.

Laporan itu juga mendakwa Low dan keluarganya kemudian tinggal di sejumlah hotel dan apartmen mewah di beberapa bandar raya China, termasuk Hong Kong dan Shang Hai.

Pihak berkuasa Malaysia masih tidak mendedahkan lokasi Low walaupun dia dipercayai sedang bersembunyi di China.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat DOJ mendakwa Low sebagai dalang utama penyelewengan 1MDB, yang antara lain membuat pinjaman berjumlah RM42 bilion untuk pelaburan tetapi tanpa sebarang hasil.

Setakat ini, pihak berkuasa Malaysia telah merampas kapal pesiar mewah Equanimity, yang menurut DOJ dibeli Low menggunakan wang 1MDB.

Low menyifatkan rampasan itu sebagai "tidak sah" dan menuduh Mahathir "melanggar" proses undang-undang negara lain.

Lihat Komen
ADS