Pemuda Umno menggesa "tindakan lanjut diambil jika terbukti" keputusan siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendapati polis mencabul hak asasi ketika menyuraikan perhimpunan pembangkang di Lebuhraya Kesas tahun lepas.

Setiausaha Kerja pergerakan itu, Harrison Hassan hari ini menjelaskan pergerakan itu memandang serius laporan badan hak asasi itu yang dikeluarkan semalam.

"Sekiranya terbukti keganasan dan pencabulan hak asasi manusia, pendekatan sewajarnya perlu dilakukan," katanya kepada malaysiakini , apabila diminta mengulas laporan itu.

Laporan setebal 66 halaman itu berdasarkan keterangan 46 saksi, termasuk 16 anggota polis, Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail, dua anggota Dewan Rakyat pembangkang dan seorang pelajar perempuan, berumur 17 tahun.

Harrison menambah, Pemuda Umno membantah sebarang kekerasan sebarang pihak dan menggesa tindakan selanjutnya diambil berhubung siasatan tersebut.

Berdasarkan siasatan awam selama empat bulan mulai November tahun lalu, suruhanjaya itu mendapati pencabulan polis seperti menggunakan kekerasan terhadap mereka berada di lebuhraya itu, menyebabkan kerosakan serta merampas harta persendirian, melengahkan rawatan terhadap tahanan dan kegagalan memberi ubat kepada mereka yang cedera.

Polis dilaporkan telah menahan 125 orang, iaitu 119 pada hari perhimpunan 5 November dan enam lagi pada malam sebelumnya, termasuk penganjur. Perhimpunan yang dijadualkan di sekeping tanah milik persendirian di Jalan Kebun, Klang dihalang polis di lebuh raya berkenaan sehingga menyebabkan kesesakan teruk jalan raya.

Dianggarkan 10,000 penyokong pembangkang, bersama empat pemimpin tertinggi parti-parti Barisan Alternatif, berjalan kaki sejauh beberapa kilometer sebelum diarah bersurai dengan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air.

Jawatankuasa siasatan itu yang dipengerusikan oleh bekas hakim kanan Tan Sri Anuar Zainal Abidin turut disertai dua lagi pesuruhjaya badan itu, Prof Mehrun Siraj dan Tan Sri Simon Sipaun.

Pengerusi Biro Latihan Pemuda Umno, Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata "penilaian yang adil perlu dilakukan memandangkan polis bertindak untuk menjaga ketenteraman awam."

Tambahnya, laporan seperti itu perlulah mendapat pandangan daripada "kedua-dua belah pihak."