Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu dera murid: Bapa berang exco dakwa tiada kerjasama

Bapa kepada seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh Pengkalan Hulu berang dengan tindakan seorang exco kerajaan negeri Perak yang didakwa memandang remeh laporan bahawa anaknya didera secara fizikal dan seksual oleh guru sekolah berkenaan.

Malah, katanya, kenyataan yang dibuat oleh exco Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Perak, Dr Abdul Aziz Bari, itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan berat sebelah.

"Kami sangat kecewa dengan kenyataan Aziz Bari yang jelas berat sebelah. Sebagai seorang exco negeri, beliau sepatutnya berjumpa dengan pihak keluarga sebelum membuat sebarang kenyataan," kata bapa itu yang namanya tidak disiarkan oleh Malaysiakini untuk melindungi identiti murid tersebut.

Menurut lelaki itu, selain beliau tiga lagi ibu bapa lain membuat laporan polis terhadap pihak sekolah dalam masa tiga tahun.

"Takkan semua nak buat laporan polis palsu. Apakah keperluan kami untuk membuat laporan polis palsu? Kalau saya seorang sahaja tak apa.

“Ini sudah empat ibu bapa membuat sebanyak tujuh laporan polis sejak tahun 2016. Jadi siapa yang palsu di sini? " soalnya.

Minggu lalu, Aziz dipetik oleh Bernama sebagai meminta ibu bapa murid SJK (T) Keruh yang mendakwa didera secara fizikal dan seksual oleh guru, tampil menemuinya.

Beliau berkata, perkara itu perlu sekiranya ibu bapa terbabit masih mahu meneruskan tuduhan terhadap sekolah berkenaan yang dilakukan oleh mereka tanpa mengemukakan bukti kukuh termasuk laporan perubatan.

Aziz Bari turut turut mendakwa ibu bapa pelajar itu tidak mahu memberi kerjasama kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak apabila diminta untuk datang menyelesaikan masalahnya.

Sambil memandang serius tuduhan itu, beliau juga mencadangkan agar sekolah berkenaan mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa terbabit dan kerajaan negeri akan membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah tersebut.

Mengulas lanjut, bapa murid itu yang tampil di Malaysiakini hari ini mendakwa kenyataan Aziz bukan fakta sebenarnya.

Katanya, dakwaan ibu bapa tidak memberi kerjasama dengan pejabat pendidikan tidak benar sama sekali.

"Kami pernah menghadiri tiga mesyuarat sebelum ini. Pada kali pertama dua daripada guru daripada sekolah tersebut meminta maaf kepada keluarga saya kerana menampar anak saya tahun lalu.

“Pada mesyuarat kedua kami berjumpa dengan pegawai pendidikan dari Putrajaya. Namun,
tiada perkembangan lanjut.

"Lebih mengecewakan kami, dua guru yang meminta maaf kepada kami, kini dinaikkan pangkat. Ini yang menyebabkan kami meletakkan beberapa syarat untuk hadiri mesyuarat ketiga. Tetapi, pejabat pendidikan tidak layan surat kami membuat kami tidak menghadiri ke mesyuarat tersebut," katanya.

Beliau juga mengakui ada lagi ibu bapa sedia tampil ke hadapan dan sedia memberi kenyataan terhadap pihak sekolah tersebut.

"Sudikah exco negeri meluangkan masa kepada kami?" soal bapa itu.

Untuk rekod, pada 7 Ogos lalu, Pejabat Penyelaras BN bagi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu menerima aduan daripada wakil pelajar berhubung dakwaan salah laku guru terhadap murid sehingga ada yang tidak berani hadir ke sekolah.

Antara dakwaan yang dibuat ialah beberapa murid sekolah berkenaan mengalami kecederaan fizikal selain gangguan emosi dan seksual yang dilakukan oleh guru sekolah berkenaan.

Dakwaan tersebut kemudian dipanjangkan kepada media oleh pejabat penyelaras terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.

Turut dinyatakan wakil kepada ibu bapa murid yang terlibat turut membuat laporan polis.

Lihat Komen
ADS