Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga kanak-kanak Orang Asli 'hilang' saman kerajaan

Anggota keluarga tujuh kanak-kanak Orang Asli yang hilang dari sekolah mereka di Pos Tohoi, Gua Musang tiga tahun lalu memfailkan saman kecuaian terhadap kerajaan dan lapan penjawat awam.

Peguam Gokul Radhakrishnan berkata enam sama difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 13 Ogos menuntut jumlah pampasan yang tidak didedahkan bagi kerosakan dan pelbagai tuntutan berhubung hak Orang Asli.

"Kita memfailkan enam saman bagi enam keluarga. Terdapat enam keluarga kesemuanya bagi tujuh mangsa yang terlibat, dua daripada kanak-kanak itu adalah adik beradik.

"Mereka menuntut pampasan atas kecuaian kerajaan Malaysia dan lapan penjawat awam," kata Gokul kepada pemberita selepas sidang media yang diadakan oleh anggota keluarga berkenaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor hari ini.

"Punca perkara itu adalah kecuaian dan juga pelanggaran undang-undang, kewajipan, dan jangkaan yang sah dari plaintif," kata Gokul, peguam kepada ibu Orang Asli, Midah Angah.

Dua anak Midah, Noreen dan Haikal Yaakon antara kanak-kanak yang melarikan diri dari asrama mereka di SK Pos Tohoi pada 23 Ogos 2015 dipercayai kerana takut dihukum oleh guru mereka kerana mandi di sungai berhampiran tanpa kebenaran.

Hanya Noreen, 13 dan rakannya, Muksudiar Aluj, 14 yang selamat ditemukan 47 hari kemudian pada 9 Okt.

Kedua-dua kanak-kanak itu hadir bersama anggota keluarganya ketika sidang media hari ini.

Adik Noreen, Haikal, meninggal dunia ketika berada di dalam hutan, bersama rakannya Ika Ayel, 9, Juvina David, 7, Linda Rosli, 8, dan Sasa Sobrie, 8.

Kecuali mayat Sasa, empat mayat yang lain yang berjaya ditemui ditanam di kubur sama di Kampung Penad, Gua Musang, pada 25 Okt 2015.

Peguam dan aktivis Siti Kasim yang juga hadir pada sidang media itu berkata tarikh pengurusan kes sudah ditetapkan pada 18 Sept di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

"Kita berjaya memfailkan kes sebelum tarikh status tamat," kata Siti ketika ditanya alasan saman sivil itu hanya difailkan selepas tiga tahun.

Tambah Siti, pasukan peguam pro-bono juga memerlukan masa untuk mengumpul semua maklumat yang diperlukan bagi memfailkan saman berkenaan.

Siti yang dikenali sebagai aktivis Orang Asli, juga mendedahkan defendan termasuk pegawai dari Jabatan Pendidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli, dan beberapa pegawai yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS