Berita Malaysiakini

Lepas 3 tahun hilang anak, air mata Orang Asli Temiar masih menitis

Alyaa Alhadjri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan kesakitan yang dirasakan oleh keluarga tujuh kanak-kanak Orang Asli Temiar yang dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah mereka di SK Tohoi, Gua Musang, tiga tahun lalu.

Pada sidang media hari ini yang diadakan oleh anggota keluarga kanak-kanak berkenaan, Midah Angah, 47, yang merupakan ibu kepada dua daripada tujuh kanak-kanak berkenaan menitiskan air mata.

Midah kehilangan anak lelakinya, Haikal Yaakob yang berumur lapan tahun ketika kejadian itu.

Ketika diminta oleh peguam dan aktivis Siti Kasim untuk menyampaikan ucapan, Midah tidak dapat berkata-kata dan dibungkam tangisan.

Tangisan Midah mengundang tangisan daripada anggota keluarga Orang Asli yang lain yang turut hadir sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor itu.

Selepas 47 hari sejak tujuh kanak-kanak itu hilang dari sekolah mereka, hanya 2 yang selamat ditemukan, anak perempuan Midah Noreen yang kini berumur 13 tahun dan rakannya Miksudiar Aluj, 14 - yang kedua-duanya hadir hari ini.

Pada 23 Ogos 2015, tujuh kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang kerana dipercayai takut dihukum guru mereka selepas mandi di sungai berhampiran tanpa kebenaran.

Empat daripada mereka terkorban dan ditanam pada 25 Okt 2015, sementara mayat seorang lagi kanak-kanak tidak ditemukan sehingga ke hari ini.

Susulan kejadian itu, Siti berkata rayuan telah dibuat kepada kerajaan agar membina sekolah di kawasan pedalaman Gua Musang.

"Ini agar ibu bapa tidak perlu lagi menghantar anak-anak mereka untuk tinggal di asrama (di SK Tohoi)," kata Siti yang juga mendedahkan bahawa dua kanak-kanak yang selamat itu tidak lagi bersekolah kerana trauma dengan pengalaman buruk mereka.

Ayel Ajib, yang hilang anak perempuannya, Ika, turut mengulangi gesaan Siti agar sekolah dibina berhampiran kampung mereka.

"Sebelum kejadian ini, kami sanggup menyerahkan anak-anak kami (untuk tinggal di asrama)

"Mungkin tak ada kaum lain yang buat seperti itu. Tapi kami (Orang Asli) juga memikirkan pendidikan anak-anak kami," katanya.

[Baca berita penuh]