Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
story images

Seorang isteri tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Shanti (yang enggan memberi nama penuh) berkata suaminya ditahan pada Mac lalu dan diberitahu dia akan dibebaskan selepas tempoh tahanan maksimum 28 hari.

Tetapi suaminya tidak dibebaskan. Malahan, 20 hari selepas suaminya ditahan pada April lalu, suami Shanti meninggal dunia di lokap di ibu pejabat polis Shah Alam.

"Saya menunggu suami saya dibebaskan. Kemudian pada suatu hari saya menerima panggilan telefon daripada polis yang memberitahu,'suami kamu telah meninggal dunia, sila datang untuk menuntut jenazahnya.'

"Polis kata beliau (meninggal dunia akibat) demam yang dialaminya selama empat hari ketika di dalam lokap," dakwa Shanti kepada pemberita di luar penjara Sungai Buloh hari ini.

Empat bulan kemudian, ibu berusia 38 tahun itu mendakwa beliau masih belum menerima sebarang penjelasan atau laporan bedah siasat mengenai kematian mendiang suaminya itu.

Shanti merupakan salah seorang daripada kira-kira 200 ahli keluarga tahanan Sosma yang berkumpul di luar penjara Sungai Buloh hari ini bagi membantah akta berkenaan.

Rayu pertolongan PM 

Berhimpun di luar penjara Sungai Buloh, ahli keluarga para tahanan, termasuklah anak-anak memegang kain rentang merayu pertolongan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelamatkan anak-anak, suami atau bapa mereka.

Ketika sesi bergambar dengan pihak media, tiga wanita pertengahan umur yang berdiri bersama-sama hadirin mula menjerit.

"Adakan kamu fikir kami ini anjing? Kami tidak dibenarkan pergi ke mahkamah?" Laung salah seorang wanita itu.

"Kami manusia juga, perdana menteri tolonglah kami," rayu wanita itu sambil mengesat linangan air matanya.

Seramai 200 keluarga tahanan Sosma berkumpul di luar penjara Sungai Buloh hari ini bagi membantah undang-undang tersebut.

Mereka berhimpun sebagai solidariti dengan 215 tahanan Sosma yang ditahan di penjara Sungai Buloh yang sedang melancarkan mogok lapar sejak 8 pagi semalam.

Para tahanan berkata mogok lapar itu akan diteruskan sehinggalah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) melaksanakan janji pilihan raya memansuhkan akta berkenaan.

Mogok lapar ini akan diteruskan, kata mereka sehinggalah pentadbiran HARAPAN memansuhkan akta itu.

"Mereka tidak akan berhenti sehinggalah kerajaan menunaikan janjinya memansuhkan Sosma atau menggugurkan pertuduhan terhadap mereka sementara proses memansuhkan Sosma berjalan.

"Selagi tiada keputusan daripada kerajaan persekutuan, mereka akan meneruskan mogok lapar ini," kata Presiden NGO Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah kepada pemberita.

Peguam Harpal Singh (gambar) yang mewakili 19 tahanan Sosma yang sedang mogok lapar berkata beliau telah menulis surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) mengenai hal ini.

Dalam surat berkenaan, Harpal memohon peguam negara menggunakan budi bicaranya untuk membebaskan tetapi tidak melepaskan tahanan daripada pertuduhan (DNAA) kepada para tahanan Sosma berkenaan.

Kata Harpal lagi, ini kerana kerajaan HARAPAN berjanji untuk memansuhkan "undang-undang menindas" termasuk Sosma ketika PRU14 lalu.

Surat representasi bertarikh 22 Ogos yang dilihat Malaysiakini menyatakan, "kami percaya bahawa terdapat kemungkinan besar prosiding di bawah Sosma tidak dapat terpakai lagi."

Selanjutnya, surat itu juga merayu anak guamnya tidak terus ditahan di bawah Sosma.

Jawatankuasa khas KDN

"Justeru, kami dengan rendah hati merayu supaya anak guam kami tidak terus ditahan secara salah dan dengan niat tidak baik terus di tahan di bawah Sosma.

"(Hal ini) dengan mengambil kira kebarangkalian besar bahawa Sosma akan dimansuhkan," kata surat itu.

Harpal berkata DNAA membenarkan Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa semula tahanan pada masa akan datang, jika perlu di bawah undang-undang berlainan atau di bawah Sosma sekali lagi jika akta ini tidak dimansuhkan.

Dilaporkan Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan pihak polis, Suhakam dan Majlis Peguam bagi menyemak semula undang-undang keselamatan sedia ada yang dikatakan melanggar hak asasi manusia.

Selain Sosma, undang-undang lain yang dikaji semula adalah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Ppta), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

Kebanyakan tahanan Sosma didakwa terlibat dalam kegiatan jenayah terancang.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa Rasiah yang tiba kira-kira jam tiga petang tadi di luar penjara SUngai Buloh turut memberikan ucapan kepada hadirin yang berhimpun.

"Apa yang saya boleh katakan, saya akan meminta wakil daripada pihak keluarga untuk menulis suatu memorandum bertulis kepada perdana menteri, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong.

"Apabila telah siap, saya akan terima memorandum itu dan pastikan surat tersebut sampai kepada pemimpin ini," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS