Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam: Paderi Koh dalam senarai suspek Jabatan Imigresen?

INKUIRI SUHAKAM | Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memohon rekod imigresen paderi Raymond Koh yang kini hilang, untuk menentukan sama ada beliau termasuk dalam senarai suspek Jabatan Imigresen dan dipantau pergerakannya.

Peguam Koh dan isterinya Susanna Liew, Philip Koh berkata, pasangan itu beberapa kali dihentikan ketika melalui pemeriksaan imigresen antara Ogos 2011 dan Jun 2012.

Hari ini, Penolong Pengarah (keselamatan dan pasport) Jabatan Imigresen Hamid Momong menyerahkan rekod tersebut yang menunjukkan Koh tidak disenarai hitam untuk ke luar negara.

Hamid bagaimanapun mengakui rekod bagi 2012 tidak dapat ditemui.

Beliau juga mendedahkan wujudnya satu lagi 'senarai suspek', dan tidak pasti sama ada nama Koh termasuk dalam senarai itu.

"Secara prinsip, dua perkara boleh berlaku jika anda ada dalam senarai suspek - pertama, anda tidak dapat perkhidmatan imigresen (dan tidak boleh keluar negara). Kedua, anda masih boleh keluar tetapi pergerakan akan direkodkan.

"Rekod anda keluar dan masuk negara kemudian akan diberikan kepada agensi yang memintanya," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh meminta maklumat seperti itu, Hamid berkata semua agensi penguatkuasaan boleh membuat permohonan jika mempunyai asas yang kukuh.

"Sepanjang pengalaman saya, mereka (Jakim) tiada meminta sesiapa untuk dimasukkan ke dalam senarai itu, tetapi mereka boleh berbuat demikian jika ada kuasa untuk menyiasat atau mendapat kuasa melalui Mahkamah Syariah," katanya lagi.

Hamid juga berkata beliau tidak sedar sama ada Koh dipantau oleh mana-mana agensi atau jabatan kerajaan lain.

Inkuiri kehilangan Koh bersambung hari ini selepas ditangguhkan Januari lalu. Turut hadi hari ini adalah isterinya Susanna Liew dan anak mereka Jonathan Koh.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Liew berharap inkuiri ini akhinya akan dapat memberikan jawapan tentang kehilangan suaminya.

Di sebalik jaminan oleh Menteri undang-undang Datuk VK Liew, beliau berkata keluarganya dan keluarga individu lain yang hilang - Amri Che Mat dan Joshua Hilmy serta isterinya Ruth hilmy - kekal tidak mendapat apa-apa maklumat daripada polis.

"Kami sangat kecewa kerana ada yang sudah menunggu lebih 600 hari, ia adalah satu tempoh yang lama," katanya lagi.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS