Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) menggesa kerajaan untuk memansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan menggantikannya dengan Akta Kebebasan Maklumat (FOIA).
Menurut Hakam, walaupun penting untuk mengekalkan kerahsiaan dalam keadaan tertentu seperti minit mesyuarat kabinet dan taklimat ketenteraan mengenai aset strategik negara, FOIA dapat menangani kebimbangan tersebut.
"Akta Kebebasan Maklumat boleh menampung kebimbangan yang sah ini, kebebasan maklumat patut diberi keutamaan.
"Hakam dengan ini menggesa kerajaan untuk menghapuskan OSA dan menggantikannya dnegan Akta Kebebasan Maklumat," kata persatuan itu dalam satu kenyataan semalam.
Hakam mengulas wawancara Malaysiakini bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata OSA akan terus dikekalkan.
"Undang-undang tidak sempurna, ia terbuka kepada penyalahgunaan, tetapi anda berharap untuk mencari orang yang tidak melanggar undang-undang, yang akan mematuhi undang-undang. Itulah yang penting.
"Kerajaan terdahulu tidak mematuhi undang-undang. Mereka melakukan apa yang mereka suka dengan undang-undang.
"Perkara utama adalah untuk memilih kerajaan yang tidak akan melanggar undang-undang," kata beliau dalam wawancara yang terbit semalam itu.
Akta Rahsia Rasmi 1972 telah dipinda Mahathir pada tahun 1986 semasa beliau menjadi perdana menteri untuk kali pertama dengan memasukkan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya setahun jika sabit kesalahan.
Undang-undang itu telah digunakan terhadap ahli politik pembangkang selama ini, termasuk pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang yang kemudiannya menyifatkan undang-undang itu sebagai undang-undang 'menindas dan kejam' dalam pentadbiran Mahathir yang menyekat kebebasan akhbar dan parlimen.
Hakam berkata OSA merupakan undang-undang ketinggalan zaman yang memberi menteri dan pegawai awam kuasa yang berlebihan dengan sewenang-wenangnya mengklasifikasikan hampir mana-mana dokumen kerajaan sebagai "rahsia rasmi" dan ia telah sering kali disalahgunakan pada masa lalu.
Oleh itu, mengekalkan OSA dalam bentuknya sekarang adalah bertentangan dengan prinsip ketelusan dan kebebasan maklumat, yang seterusnya akan merosakkan akauntabiliti dan urus tadbir yang baik.
"Tanpa akses yang mencukupi terhadap maklumat mengenai dasar kerajaan, rakyat tidak dapat membuat keputusan yang tepat. Kurangnya keputusan yang dibuat berdasarkan maklumat lengkap akan menyebabkan kerajaan yang tidak cekap, atau lebih buruk lagi, rasuah," kata kumpulan itu.
Selain itu, Hakam berkata, mengekalkan OSA juga merupakan pelanggaran janji ke-14 dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan, yang berjanji untuk menyemak semula OSA dan menggubal FOIA.
Persatuan itu juga berkata pengekalan OSA akan mewujudkan percanggahan kerana dua kerajaan negeri yang dipimpin HARAPAN, di Selangor dan Pulau Pinang telah mempunyai undang-undang FOI negeri.
