mk-logo
Berita
'Ada orang tak rasa bersalah fitnah kerajaan PH sokong LGBT'
Diterbitkan:  Aug 30, 2018 8:58 AM
Dikemaskini: Jul 10, 2020 7:02 AM

Semua pihak diminta untuk tidak terus memfitnah dan memutar belit kenyataan kerajaan berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof.

Sambil mengulangi pendirian kerajaan, beliau menegaskan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak pernah mengiktiraf golongan tersebut dan sentiasa mencari jalan untuk membantu memulihkan mereka.

“Kerajaan HARAPAN tidak pernah mengiktiraf LGBT. Itu kena jelas.

"Walaupun menjadi suatu isu apabila kami menyantuni mereka, itu hanyalah untuk merawat dan merupakan antara program yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pemulihan.

"Ramai tidak sedar, 80 peratus kelompok transgender terlibat dalam industri seks dan ini sangat mengecewakan.

"Kita dekati golongan terbabit supaya mereka meninggalkan industri tersebut. Tidak timbul soal kerajaan memberikan mereka usaha untuk mereka berdikari dan sebagainya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Mujahid berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Husain Awang yang ingin tahu pendirian kerajaan berkenaan isu LGBT.


Baca Melatah berjemaah dengan isu LGBT


Menjawab soalan tambahan Senator Dr Muhammad Nur Manutty yang ingin tahu langkah diambil bagi menghentikan persepsi rakyat dalam isu LGBT, Mujahid berkata semua pihak perlu berhenti memfitnah kerajaan berhubung isu tersebut.

“Berhentilah daripada buat fitnah. Selagi mulut tak boleh dikawal dan berniat nak burukkan kerajaan, saya tak boleh buat apa.

"Walaupun saya dah jawab berpuluh-puluh kali, ada yang terus tanpa rasa bersalah bagi tahu rakyat, ada menteri yang sokong LGBT... ada yang kata kita anjur pesta gay.

"Penjelasan (mengenai LGBT) dah dibuat, kalau orang tak nak terima pun tak mengapa.

"Adalah lebih baik, secara positif kita akan teruskan usaha yang baik (memulihkan LGBT) dan lama kelamaan suara sumbang itu akan hilang,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini