Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Harga barang tak patut naik jika peniaga jual stok lama'

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan kenaikan harga barang sepatutnya tidak berlaku sekiranya peniaga menjual stok lama sebelum pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bermula semalam.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Kelantan Firdus Zakaria, berkata jika stok lama yang dijual di sesebuah pasar raya diambil daripada pembekal ketika pengecualian cukai, sekali gus harga barangan ketika ini tidak sepatutnya berubah.

Justeru katanya, pengguna yang mendapati mana-mana pasar raya yang menaikkan harga dalam tempoh terdekat perlu membuat aduan kepada KPDNHEP.

"Tidak sepatutnya harga barang jualan di pasar raya mengalami kenaikan memandangkan barang yang dijual adalah stok lama dan ia dibeli (dari pembekal) ketika SST belum dilaksanakan.

"Kita jangkakan stok baru akan dijual bermula 1 Oktober depan. Tetapi keadaan itu tidak bermakna pasar raya terbabit tidak boleh menaikkan harga jualan ketika ini, cuma mereka perlu mengemukakan dokumen dan bukti yang menunjukkan barang jualan itu adalah stok baru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pemeriksaan menerusi Ops Catut 5.0 di sebuah pasar raya di Kota Bharu, hari ini.

Pengguna sejak Jun lalu tidak dikenakan sebarang cukai berikutan langkah kerajaan menetapkan kadar GST pada sifar peratus.

Bagaimanapun, vendor masih dikehendaki mematuhi dokumentasi GST sehingga SST berkuatkuasa semalam.

Terdahulu, media hari ini melaporkan orang ramai diminta memantau harga barangan di seluruh negara bagi membanteras peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan pelaksanaan SST.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata ada kemungkinan segelintir peniaga menaikkan harga sesuka hati dan yang menerima kesannya adalah pengguna.

Sementara itu, Firdus yang juga ketua operasi penguatkuasaan KPDNHEP negeri berkata, pihaknya belum menerima aduan daripada pengguna membabitkan SST pada hari kedua pelaksanaannya.

Katanya, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang mengambil kesempatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mencatut.

"Sebaik pelaksanaan SST, kita sudah melakukan pemeriksaan ke atas 34 premis seperti pasar raya dan kedai runci di negeri ini semalam membabitkan 30 jenis barangan keperluan utama isi rumah.

"Kita juga membuat pemeriksaan ulangan terhadap premis terbabit dengan membuat perbandingan sebelum dan selepas SST dilaksanakan. Selain itu, jika ada sebarang aduan kita juga akan melakukan siasatan segera," jelasnya.

Lihat Komen
ADS