Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membebaskan bekas ketua menteri Lim Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam.

Turut dibebaskan ialah seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Terdahulu timbalan pendakwa raya Mohd Masri Daud memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dakwaan tersebut.


Baca: SPRM 'amat terkejut' mahkamah bebaskan Guan Eng


Bagaimanapun hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk membebas dan melepaskan Lim serta Phang daripada tuduhan berkenaan.

Katanya permohonan tersebut tidak dapat diterima kerana pihak pendakwa sudah menarik balik tuduhan yang dikenakan kepada kedua-dua individu terbabit.

Lim yang kini menjadi menteri kewangan didakwa bersama Phang di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang George Town, menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan berkenaan ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, di bawah harga pasaran semasa.

Ia turut menarik perhatian ramai kerana peguam negara ketika itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali bertindak sebagai ketua pasukan pendakwaan.

Tak boleh biar begitu saja

Menurut Mohd Masri pihaknya mengkaji hujah yang diberi tertuduh dan bersetuju untuk menggugurkan semua dakwaan.

Bagaimanapun katanya pihak pendakwa meminta mahkamah menimbangkan Lim dan Phang dilepas tetapi tidak dibebaskan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Acara Jenayah.

Peguam Lim serta Phang membantah permohonan berkenaan.

Menurut Ramkarpal Singh - yang mewakili Lim - mahkamah tidak wajar terus membiarkan tuduhan itu tergantung begitu saja.

Katanya mahkamah perlu memberi pembebasan penuh kecuali dalam keadaan khusus seperti ketiadaan saksi untuk memberi keterangan.

Peguam Phang V Sithambaram pula menambah Pejabat Peguam Negara sudah mengkaji dan meneliti hujah yang dikemukakan tertuduh dan tidak wajar mereka terus 'terikat' dengan dakwaan tersebut kerana ia bermakna mereka boleh dituduh semula pada masa depan.

Hakim kemudian bersetuju dengan hujah Ramkarpal Singh serta Sithambaram. Katanya mahkamah tidak boleh terus menangguhkan kes berkenaan terutama kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Kata Hadhariah setakat ini sudah 25 orang saksi memberi keterangan dan perbicaraan belum diselesaikan sejak ia didengar Mac lalu.

"Kita bukan bergerak perlahan sebaliknya kita menunggu kes ini.

"Sekarang pasukan pendakwa meminta ia ditarik balik, tetapi kita tidak boleh membenarkan anda melakukannya secara beransur-ansur atau tertangguh.

"Mahkamah tidak boleh membiarkan kes ini begini selamanya. Kita perlu meletakkan tanda noktah untuk menutupnya," kata hakim.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS