Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik selaku Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak seharusnya dilihat mempunyai konflik kepentingan, kata bekas timbalan rektor hal ehwal pelajar (HEP) universiti itu Profesor Datuk Dr Mizan Hitam.

“Kebetulan waktu ini Dr Maszlee menteri dan bekas pensyarah UIA, di mana konfliknya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis cabaran yang dihadapi oleh profesional muda yang dianjurkan Institut Perancang Malaysia (MIP) di Kelana Plaza, hari ini.

Mizan juga berkata, lantikan menteri sebagai presiden UIA bukan perkara baru.

Katanya, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak juga pernah dilantik ke jawatan itu ketika menjadi menteri pendidikan.

“Lantikan itu tak ada konflik kepentingan dan dia (Maszlee) dalam kerajaan sekarang dan menteri pendidikan.

“Memang dalam sejarah sebelum ini menteri pendidikan pernah jadi presiden UIAM, itu sejarah,” katanya.

Anwar menjawat jawatan menteri pendidikan 1986 hingga 1991 dan memegang jawatan presiden UIA selama sepuluh tahun (1988 hingga 1998).

Najib pula memegang jawatan menteri pendidikan dari 1995 hingga 1999 dan dilantik menjadi presiden UIAM selama setahun (1998-1999).

ADUN Kampung Tunku Lim Yi Wei menggesa Maszlee melepaskan jawatannya sebagai presiden baru UIA dengan menyifatkan seorang menteri mengetuai universiti swasta adalah satu "konflik kepentingan yang jelas".

Pakatan Harapan, dalam manifesto pilihan raya, berjanji untuk memulihkan kebebasan akademik di institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Mizan yang juga Pensyarah Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur UiTM turut yakin Maszlee bersikap profesional dalam menjalankan tugasnya.

Katanya lagi, segala keputusan yang akan dibuat Maszlee bukan berdasarkan semberono sebaliknya, keputusan bersama dalam ahli jawatankuasa.

“Saya tak fikir ada apa-apa masalah, saya fikir dia profesional, presiden ada lembaga dia, bukan sendirian bukan bertindak semberono saya cukup positif,” katanya.

Bagi Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pula meminta kerajaan baru mengambil maklum mengenai kritikan yang diberikan terhadap lantikan Maszlee.

“Kita kena ambil kira kritikan dan teguran dalam suasana Malaysia baru, dalam suasana ini kena terima dan diambil kira,” katanya.

Lihat Komen
ADS