Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mansuh hukum sebat: Bukan soal lembut atau keras - Badan Peguam
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 6:23 PM
Dikemaskini: 3:36 PM

Badan Peguam Malaysia mengecam hukuman sebatan terhadap dua wanita di Terengganu pada 3 September 2018 lalu dan berkata gesaan untuk memansuhkan hukuman dera (corporal punishment) tidak mengira perbezaan sebatan sivil atau syariah.

"Sebarang perbandingan mengenai sebatan sebegini dengan hukuman rotan di bawah undang-undang sivil adalah tidak wajar.

"Segala bentuk hukuman dera adalah kasar dan kejam serta menyebabkan mudarat dan kesan fizikal dan psikologi dalam tempoh yang lama," kata Presiden Badan Peguam, George Varughese dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Badan Peguam menentang segala bentuk hukuman dera termasuklah sebatan dan rotan.

"Kami menegaskan pendirian kami bahawa hukuman dera perlu dimansuhkan sebagai bentuk hukuman terhadap semua kesalahan," katanya.

Varughese juga berkata hukuman rotan itu sendiri telah berbentuk penghinaan manakala ia dilakukan di depan orang ramai menambahkan lagi kekejamannya.

"Hukuman sebat itu sendiri kejam dan menghina yang merendahkan maruah dan rasa kehormatan diri.

55 negara mansuh hukuman dera

"Hal ini diburukkan lagi dengan cara pelaksanaan hukuman sebat di depan khalayak, yang mana kesan mudaratnya tidak boleh diwajarkan dengan sebarang bentuk tanggapan nilai pendidikan, pengajaran atau pencegahan," kata Varughese.

Menurut Badan Peguam lagi sebanyak 55 negara di dunia telah memansuhkan semua bentuk hukuman dera.

"Ini, termasuk empat negara anggota Organisasi Kerjasama Islam (OIC). Malaysia perlu mengikuti langkah ini," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa hukuman sebat dalam undang-undang sivil dan syariah dimansuhkan, berkata hukuman itu bertujuan untuk memalukan dan menjatuhkan reputasi wanita berkenaan serta keluarga mereka.

Terdahulu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, masyarakat tidak perlu panik atau risau kerana hukuman sebatan yang dijalankan oleh mahkamah syariah itu adalah berbeza daripada hukuman serupa yang dijatuhi mahkamah sivil.

“Jika kita tengok prosedur hukuman sebatan (di mahkamah syariah) pun jauh lebih lembut dan ringan berbanding sebatan mahkamah sivil.

"Cara sebatan pula dilakukan dengan pukulan sederhana menggunakan rotan kecil dan tidak boleh kena pada muka, kepala, perut, dada dan bahagian sulit pesalah," katanya.

Lihat Komen
ADS