Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda HARAPAN harap gaji minimum RM1,500 pada masa akan datang
Diterbitkan:  Sep 6, 2018 9:15 AM
Dikemaskini: Sep 19, 2018 1:09 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) menyambut baik langkah kerajaan menyelaraskan gaji minimum di seluruh Malaysia dan berharap kadar itu akan dinaikkan pada masa akan datang selaras dengan manifestonya.

"Walaupun kenaikan itu adalah sedikit pada masa ini, tetapi ini merupakan satu kemajuan yang boleh dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

"Tidak boleh dinafikan bahawa kadar gaji di Malaysia telah mendatar sekian lama dan aspirasi kita untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi telah lama terkesan oleh kelembapan ini," kata ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Nazmi isu kos sara hidup ini adalah kadar gaji yang rendah terutamanya bagi golongan B40 dan amat penting untuk menangani isu ini dengan penyelesaian menyeluruh.

"Apabila ekonomi kian pulih kita harus meningkatkan kadar gaji minimum ini kepada RM1500 dalam masa lima tahun selaras dengan manifesto, dan memberi insentif kepada pemilik perniagaan — termasuklah dengan memberi pengecualian cukai — agar gaji boleh dinaikkan ke gaji minima, atau lebih tinggi lagi 'living wage' seperti yang disarankan oleh Bank Negara.

"Dasar perolehan (procurement) kerajaan juga harus diubah dalam jangkamasa sesuai agar syarikat yang membayar 'living wage' diberi keutamaan.

"Impak jangka masa panjangnya adalah kenaikan pendapatan yang akan menyebabkan kenaikan perbelanjaan, dan kesan berganda kepada ekonomi," jelasnya.

Semalam, kerajaan buat pertama kalinya bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Jan 2019.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas menimbang syor-syor yang diberikan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata kenaikan gaji bagi B40 ini diharapkan akan mendorong kerja-kerja "3D" (kotor, berbahaya dan sukar) - seperti pembinaan dan perladangan - lebih menarik untuk rakyat tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Malah, seperti negara maju lain, sektor-sektor ini boleh meningkatkan produktiviti menerusi automasi. Selama ini sektor-sektor ini terlalu dimanjakan kadar upah rendah pekerja asing," katanya.

Tambah beliau, Bank Dunia dalam satu analisa menyatakan kenaikan 10 peratus dalam aliran pekerja asing telah mengurangkan gaji rakyat Malaysia yang paling kurang berpendidikan sehingga 0.74 peratus.

"Ini adalah isu-isu yang kita perlu tangani, tetapi ia mestilah dilakukan selangkah demi selangkah.

"Apa yang kita perlukan pada masa ini adalah kesungguhan politik untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat yang terbaik," katanya.

 

Lihat Komen
ADS