Kemelut dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berakhir dengan kedua-dua kumpulan yang bertelagah, bersetuju untuk berdamai semalam.

Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad yang mewakili kumpulan yang diterajui Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, kedua-dua pihak bersetuju dengan pelan damai yang menyaksikan kompromi kedua-dua pihak terhadap dua isu utama.

Dua perkara utama yang menjadi punca pertikaian sebelum ini ialah pelaksanaan persidangan agung GPMS yang telah lama tertangguh dan pemecatan keahlian dua pemimpin utama persatuan itu, Shahril Rejab dan Syed Annuar Syed Mohamed (foto) Oktober lalu.

Sobri yang hubungi hari ini berkata, kedua-dua pihak telah mencapai kompromi untuk menangguhkan mesyuarat agung yang dipanggil oleh kedua-dua pihak pada 10 Disember dan 17 Disember ini.

Katanya, satu tarikh baru yang dipersetujui bersama akan ditetapkan bagi membolehkan semua ahli hadir dan bertanding bagi mengisi jawatan-jawatan tertinggi pertubuhan itu.

Menurutnya, penetapan tarikh baru persidangan khas akan dibincangkan semula dalam mesyuarat majlis tertinggi GPMS minggu depan.

Rujuk pada MT

"Keputusan mengadakan persidangan pada 17 dan 18 Disember ini dibuat oleh mesyuarat MT, oleh itu, sebarang perubahan atau penangguhan perlu diputuskan oleh MT juga.

"Begitu juga dengan tindakan untuk menarik balik pemecatan Shahril dan Syed Annuar, juga akan dirujuk kepada MT kerana ia adalah keputusan majlis tertinggi itu," jelasnya.

Shahril yang merupakan Timbalan Presiden GPMS dan Syed Annuar, bekas Setiausaha Agungnya, dipecat hujung Oktober lalu kerana didakwa menjalankan aktiviti yang menjejaskan imej gabungan itu.

Ekoran tindakan kumpulan Suhaimi memecat mereka, Shahril bersama Syed Annuar dan beberapa ahli MT dan pengerusi negeri GPMS, bertindak balas mengambilalih kuasa kepimpinan gabungan itu dari kumpulan Suhaimi.

Malah, mesyuarat MT yang dipengerusikan oleh Shahril selepas "rampasan kuasa" itu telah menggantung jawatan presiden yang disandang oleh Suhaimi.

Kumpulan Shahril juga memutus untuk mengadakan persidangan agung pada 10 Disember, seminggu lebih awal dari tarikh persidangan agung yang telah ditetapkan oleh kumpulan Suhaimi.

Semangat kekeluargaan

Sebelum ini, Pendaftar Pertubuhan telah meminta kedua-dua kumpulan itu berkompromi bagi menyelesaikan pertelagahan antara mereka.

Kedua-dua kumpulan diingatkan bahawa GPMS mungkin dibubar jika didapati urusan dan perjalanan mesyuarat yang diadakan oleh kedua-dua pihak, melanggar undang-undang dan peraturan.

Sobri berkata, dengan tercapainya pelan damai tersebut, perjalanan pengurusan GPMS kini kembali seperti biasa. Difahamkan pelan damai itu dicapai dalam pertemuan kedua-dua kumpulan di Shah Alam semalam.

Petang semalam, kumpulan Shahril mengeluarkan satu kenyataan mengumumkan kedua-dua pihak bersetuju berkompromi di bawah satu pelan damai.

Dalam kenyataan yang ditandatanganinya bersama Syed Annuar itu, beliau berkata, kata sepakat itu menunjukkkan semangat kekeluargaan yang menjadi teras perjuanghan GPMS selama ini, masih subur dan diterima semua pihak.

Mereka berdua juga memohon maaf terhadap segala kesulitan dan kekeliruan yang berlaku sebelum ini yang telah menyebabkan kekeliruan di kalangan ahli.