Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Sebagai orang lama dalam kerajaan terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai nasihat buat anggota kabinet Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggap masih kurang berkesan melaksanakan tugasnya.

Kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu, menteri yang baru boleh mendapatkan nasihat daripada orang lain.

Malah kata Muhyiddin, beliau sendiri boleh membantu mereka dari pelbagai aspek, termasuk nasihat.

"Saya sanggup bagi bantuan," katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini dan Sinar Harian di Bukit Damansara hari ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu, anggota kabinet yang belum memiliki pengalaman juga boleh cuba mendapatkan nasihat daripada perdana menteri sendiri.

Kata Muhyiddin keperluan membuat rujukan itu lebih perlu apabila ia melibatkan hal-hal yang penting.

"Tidak bermakna apabila dia (seseorang pemimpin) telah dilantik menjadi menteri, dia boleh buat keputusan sendiri," katanya.

Boleh tanya walau PM sentiasa sibuk

Terdahulu Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan jemaah menteri sejak dilantik memegang portfolio masing-masing dalam kerajaan HARAPAN.

“Saya tidak pernah berpuas hati. Kalau boleh, apa yang saya hendak (sesuatu yang telah diarahkan) telah dibuat kelmarin, bukan hari ini,” katanya yang dipetik pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Prestasi sebahagian menteri menjadi tumpuan orang ramai apabila dianggap kurang berkesan atau tidak cekap mengendalikan kementerian masing-masing.

Bagaimanapun ia dapat difahami kerana sebahagian besar mereka ialah bekas pembangkang selama berpuluh-puluh tahun.

Hanya beberapa menteri - seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin sendiri - pernah berkhidmat sebagai menteri sebelum ini.

Kata Muhyiddin dalam perkara tertentu seseorang Dr Mahathir dibawa berunding walaupun perdana menteri sentiasa sibuk.

Menurut anggota parlimen Pagoh itu suatu ketika dulu seseorang dilantik menjadi menteri selepas diberikan pendedahan awal melalui jawatan lebih rendah.

Sekarang kerajaan ialah HARAPAN

"Macam waktu saya dulu, jadi ahli parlimen kemudian jadi setiausaha parlimen, timbalan menteri. Kita bertatih dari satu tahap ke satu tahap sebelum jadi menteri penuh selepas 10 atau 15 tahun.

"Tapi keadaan kita sekarang berbeza. Jadi hakikat ini saya fikir rakyat terima.

"Perdana menteri pun tahu sebab itu dia rasa agak kecewa tentang pencapaian, kenyataan menteri yang buat begitu begini," katanya.

Pada masa sama Muhyiddin mengingatkan, tidak kurang penting diberi penekanan ialah keberkesanan tugas pegawai kerajaan.

Katanya, menteri boleh bertukar ganti namun pegawai kerajaan biasanya akan terus bertugas walaupun selepas sesuatu pilihan raya berakhir.

"Kebiasaannya pegawai kerajaan mesti setia kepada kerajaan semasa, mesti patuh kepada government of the day dan government of the day sekarang ialah HARAPAN.

"Persoalan penting hari ini, macam mana pegawai kerajaan boleh bantu menteri? Misalnya beri taklimat yang betul dan beri pandangan-pandang yang baik," katanya.

Pada masa sama Muhyiddin juga mengingatkan seseorang pegawai kerajaan yang enggan atau gagal melaksanakan tugas seperti diarahkan boleh dikenakan tindakan.

"Itu terserah kepada menteri untuk ambil tindakan untuk melaporkan kepada pihak lembaga tatatertib atau disiplin tapi kita harap perkara itu tidak menjadi amalan biasalah," katanya.


  • Wawancara ini turut dijayakan oleh Norman Goh, Hariz Mohd, Grace Aisyah dan wakil Sinar Harian
Lihat Komen
ADS