Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prestasi kabinet: Saya tak pernah puas hati, kata PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan jemaah menteri sejak dilantik memegang portfolio masing-masing dalam kerajaan baru.

“Saya tidak pernah berpuas hati. Kalau boleh, apa yang saya hendak (sesuatu yang telah diarahkan), telah dibuat kelmarin, bukan hari ini,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Turut hadir timbalan perdana menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan yang juga Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Abdul Rahman.

Dr Mahathir turut membidas tindakan sesetengah pegawai kerajaan yang melambatkan sesuatu keputusan hingga terpaksa ditukar ke jabatan lain demi melicinkan pentadbiran.

Beliau turut memberikan contoh tindakan pegawai yang melengahkan pelantikan pegawai menteri sehingga tidak dibayar gaji sejak empat bulan lepas.

“Oleh sebab tertentu kita tidak boleh mencapai 100 peratus janji kita. Kerosakan dalam kerajaan jauh lebih buruk sehinggakan ada orang elak laksanakan keputusan-keputusan yang telah dibuat.

“Kita dapati ada pegawai masih setia kepada pentadbiran lepas dan Najib (bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak). Apabila kita lantik pegawai, menteri berhak mendapatkan kakitangan mereka.

"Walaupun saya sudah luluskan pelantikan, tapi mereka masih belum mendapat gaji kononnya ada tidak kena dengan pelantikan.

“Bila Kabinet putuskan untuk ambil tindakan, barulah gaji dibayar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sehingga mendapat kecaman dan reaksi negatif pelbagai pihak, Dr Mahathir berkata: “Ramai orang bagi pendapat. Dan kita juga sensitif dengan reaksi itu. Jadi kita telah buat keputusan untuk mengkajinya semula.

“Ini bukannya “carved in stone’ (tidak boleh diubah),” katanya.

Berhubung mesyuarat hari ini, Dr Mahathir berkata beberapa perkara dibincangkan termasuk tahap kepuasan hati rakyat kepada kerajaan, peranan yang boleh dimainkan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun depan atau berikutnya selain hal dalaman gabungan kepartian.

Bernama

Lihat Komen
ADS