Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kit Siang: MCA patut 'tutup kedai' saja
Diterbitkan:  Sep 9, 2018 1:31 PM
Dikemaskini: 6:57 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan agar MCA membubarkan saja parti itu susulan penolakan pengundi - untuk kesekian kalinya - dalam PRK Balakong.

Semalam, calon HARAPAN dari DAP Wong Siew Ki menang besar apabila meraih 22,508 undi berbanding calon MCA Tan Chee Teong yang hanya mendapat 3,975 undi.

Tetapi kali ini MCA berjaya mengekalkan depositnya apabila mendapat 15 peratus daripada undi keseluruhan, berbanding sembilan peratus pada PRU ke-14.

Dalam satu kenyataan semalam, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong membangkitkan pencapaian parti itu dalam menambah peratusan undi berbanding PRU lalu. 

Beliau bagaimanapun mengakui MCA tidak boleh menerima keputusan itu begitu saja kerana masih banyak ruang yang perlu ditambah baik mereka.

Kenyataan itu disindir Lim yang menurutnya hairan dengan sasaran rendah yang diletakkan MCA apatah lagi menjelang ulang tahun ke-60 parti itu.

"Jika perkara terbaik yang boleh dilakukan MCA adalah untuk mempertahan deposit, satu pilihan yang perlu mereka pertimbangkan adalah untuk 'tutup kedai'.

(Kenyatan Wee) sangat menyedihkan," katanya yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri dalam satu kenyataan, hari ini.

Lim (gambar) membandingkan keadaan yang dihadapi MCA itu dengan era kegemilangan parti itu satu ketika dulu.

"Kejatuhan yang cukup besar berbanding hari-hari damai MCA ketika ia memiliki empat menteri, 31 anggota parlimen, 76 ADUN dan beribu ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung, kepada masa kini yang menyedihkan apabila mereka perlu berusaha untuk mempertahankan deposit, itu pun dengan bantuan PAS," katanya lagi.

Satu lagi jalan yang boleh diambil MCA, kata Lim, adalah dengan keluar BN dan memutuskan terus hubungannya dengan Umno.

"Pemimpin dan anggota MCA perlu memutuskan untuk meneruskan pakatan dengan Umno dan PAS...bukan saja dengan PAS tetapi juga Umno kecuali ketiga-tiga parti itu bersedia untuk membuat reformasi sepenuhnya dan mengecam rasuah, salah guna kuasa dan ketidakadilan ketika pentadbiran Najib," katanya lagi.

Susulan kekalahan BN pada PRU ke-14, Wee berkata hanya masa dapat menentukan mereka akan kekal dalam BN dan parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata mereka dalam usaha mereformasikan parti - menerusi satu jawatankuasa yang dibentuk khusus untuk itu - termasuk menimbangkan untuk membuka keanggotaan kepada kaum lain.

Selepas PRU ke-14, beberapa parti komponen BN mengisytiharkan untuk keluar BN, antaranya Gerakan dan parti-parti di Sarawak.

Lihat Komen
ADS