Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA mungkin jadi parti berbilang kaum
Diterbitkan:  May 19, 2018 4:25 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

MCA mengambil kira kekalahannya dalam PRU14 dan bersedia mereformasikan parti itu untuk keanggotaannya terbuka kepada pelbagai kaum, kata presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Jawatankuasa Pusat MCA hari ini memutuskan untuk membentuk jawatankuasa reformasi, dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Seri Wee Ka Siong.

"Jawatankuasa reformasi ini sangat penting dan akan meminta pandangan orang ramai, anggota parti, pada peringkat bahagian dan cawangan.

"Kami juga akan mengkaji yang paling penting jalan ke hadapan MCA sama ada akan ditransformasikan menjadi parti berbilang kaum (atau kekal sama).

"Ini pendekatan penting yang kami bincangkan, untuk menukar MCA menjadi parti berbilang kaum," kata Tiong Lai dalam hantaran video sidang akhbar di Facebook, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA hari ini.

Pada PRU14, beliau tewas kepada calon HARAPAN Wong Tack di kerusi Parlimen Bentong pada 9 Mei lalu.

Ketika ditanya lanjut oleh wartawan mengenai keperluan MCA membuka keanggotaannya menjadi berbilang kaum, Liow menjawab parti itu menerima banyak cadangan daripada rakyat dan anggotanya.

"...bahawa MCA perlu...inilah masanya MCA mengkaji semula dasar keanggotaan berdasarkan kaum.

"Kerana kami telah kalah tiga PRU terakhir ini.

"Kerana hanya dengan reformasi menyeluruh parti, kami dapat pastikan parti menjadi lebih kuat...kami menerima kekalahan ini, pada waktu yang sama, kami akan mengkaji semula kedudukan kami untuk menjadi lebih kuat lagi," katanya lagi.

Pendirian presiden parti komponen BN ini sejajar dengan pendapat Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan kekalahan teruk parti Melayu itu pada PRU14 yang mengatakan Umno perlu melihat semula struktur parti itu termasuk membuka keahlian kepada semua kaum.

"Kita perlu mempertimbangkan semua pilihan, apa model yang kita mahu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pertubuhan Kebangsaan Malaysia Bersatu, apakah DNA kita, apakah raison d'etre kita?

"Soalan-soalan ini perlu ditanya, kita tidak sepatutnya tetap dengan model yang kita pilih. Semuanya ada di atas meja," kata Khairy dalam temu bual dengan Channel News Asia pada 15 Mei lalu.

 

Lihat Komen
ADS