Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (WARISAN) Loretto Sipin Padua menyoal kenapa para pemimpin utama masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) tidak hadir peristiwa pemindahan Batu Sumpah Peringatan Keningau semalam
"Sebagai pemimpin di kawasan pedalaman dan pemimpin agung masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM), mereka sepatutnya datang kerana kehadiran mereka sangat penting.
"Kita sepatutnya mengenepikan pegangan politik masing-masing dan bersama-sama menyaksikan pemindahan Batu Sumpah yang menjadi pegangan masyarakat pedalaman selama ini.
"Malah, ramai pemimpin masyarakat yang hadir termasuklah waris-waris mendiang Datuk Seri Panglima Sedomon Gunsanad bagi menyaksikan upacara tersebut," jelasnya dalam suatu kenyataan hari ini.
Loretto juga menyarankan penganjur upacara tersebut supaya tampil memberi penjelasan agar tidak ada lagi isu yang boleh dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Semalam, seorang daripada pengasas batu sumpah itu Ricky Sedomon berkata upacara memindahkan Batu Sumpah Peringatan Keningau itu akan lebih bermakna jika dihadiri semua pemimpin masyarakat tempatan bagi menghormati sejarah pembentukan Malaysia.
Ricky Sedomon dilaporkan media berkata batu sumpah itu diwujudkan hasil daripada perbincangan pemimpin politik terdahulu sebagai tanda persetujuan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) dengan pembentukan Malaysia.
“Secara peribadi, saya rasa sedikit terkilan kerana pemimpin seperti anggota Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sepatutnya turut hadir pada upacara ini tanpa mengira fahaman politik.

“Saya berharap pemimpin berkenaan akan turut hadir dalam majlis-majlis bersejarah seperti ini kerana batu sumpah ini milik semua rakyat tanpa mengira status,” katanya, petik Bernama.
Joseph Pairin Kitingan, pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) juga digelar sebagai Huguan Siou (pemimpin adat) manakala adiknya Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula ialah Anggota Parlimen Keningau.
Pada PRU14 lalu, Pairin yang juga 'huguan siou' (pemimpin agung) masyarkat Kadazandusun Murut berdepan adiknya sendiri, Jeffrey, adik ipar Justin Alip (WARISAN) dan Nestor Joannes (Parti Cinta Sabah).
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas sebab-sebab ketidakhadiran pemimpin masyarakat KDM ini.
Ricky, yang merupakan seorang pengamal undang-undang, berkata Batu Sumpah Peringatan Keningau dicetuskan oleh para pemimpin KDM pedalaman Sabah yang pada asalnya enggan menyertai pembentukan Malaysia pada 1963.
"Batu sumpah itu wujud hanya selepas perdana menteri ketika itu Allahyaraham Tun Abdul Razak Hussein datang ke rumah kami di Bingkor (Keningau) untuk berbincang bagi memberikan keyakinan kepada mendiang bapa saya Datuk Seri Panglima Sedomon Gunsanad Kina (ketua orang asal di Keningau) dan bersetuju dengan pembentukan Malaysia.
"Tanpa batu sumpah, tidak ada negara Malaysia," katanya.
Pada 31 Ogos 1964, Menteri Buruh Persekutuan pada ketika itu Tan Sri V. Manickavasagam telah merasmikan peletakan batu sumpah tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens serta tokoh masyarakat Dusun Datuk G.S Sundang yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan berjalan lancar, tapak baharu Batu Sumpah Peringatan Keningau di Muzium Warisan Keningau itu dijangka dibuka kepada umum pada sambutan Hari Malaysia, 16 Sept ini.
Menurut Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman, kerja-kerja memindahkan Batu Sumpah Keningau itu menelan belanja sebanyak RM1.025 juta.
