Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Parti Amanah Negara (AMANAH) menganggap isu pegawai kanan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai.

Setiausaha agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata pemilihan pegawai tersebut telah ditapis oleh pejabat perdana menteri menteri serta beliau juga sudah mengangkat sumpah jawatan.

“Semua pegawai yang dilantik menteri semuanya ditapis oleh (pejabat) perdana menteri sebab selepas tu mereka akan angkat sumpah di depan perdana menteri terutama setiausaha menteri.

“Jadi kalau ada laporan, orang akan lapor, lepas tu SPRM akan siasat dan perdana menteri sendiri luluskan dan beliau yang angkat sumpah sebagai setiausaha politik jadi isu ini dah clear,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma AMANAH, hari ini.

Mohd Anuar juga berpendapat, isu itu sengaja diperbesarkan bagi menjejaskan nama baik Mohamad.

Beliau mengulas perkembangan kes pegawai Mohamad yang disiasat SPRM kerana didakwa menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan hutang dan keluar dari status muflis.

Mohd Anuar juga ditanya berkaitan perkara itu kerana difahamkan isu pegawai tersebut dibincangkan dalam mesyuarat bulanan AMANAH pada 4 September lalu.

Pada 27 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan, Ketua Pemuda AMANAH Mohd Sany Hamzan berkata pihaknya akan membawa perkara itu dalam mesyuarat AMANAH kerana tidak dapat berkompromi dengan amalan yang didakwa itu.

Mohd Sany juga menuntut pegawai tersebut direhatkan sementara SPRM melakukan siasatan.

Mengulas lanjut, Mohd Anuar berkata semua pihak dalam AMANAH berhak mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu

“Kami dalam AMANAH benarkan sayap-sayap kami buat kenyataan dan bincang. Tapi sekarang isu tu dah tak berbangkit, kira dah selesai,” katanya.

Mohd Sany yang turut berada dalam sidang media itu turut menambah kenyataan Mohd Anuar bahawa “kenyataannya sebelum ini secara umum sahaja”.

Lihat Komen
ADS