Paling Popular
Terkini

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK).

Perdana menteri itu berkata Anwar telah menelefonnya ketika di Hong Kong untuk memaklumkannya tentang niatnya itu.

"Dari Hong Kong dia telefon saya untuk beritahu yang dia ada PRK. Itu haknya. Saya tak masuk campur dalam perkara itu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya, hari ini.

Ketika ditanya adakah patut satu kerusi Parlimen dikosongkan untuk Anwar, beliau tidak menjawabnya secara terus: "Kami mengambil maklum pemerhatian yang dibuat orang ramai terhadap perkara itu."

Mahathir berkata beliau menyokong pencalonan Anwar tetapi tidak akan turun berkempen untuknya.

"Saya beritahu Anwar, biasanya saya tak berkempen dalam pilihan raya kecil. Tetapi saya akan sokong pencalonannya."

Pada 12 September lalu, PKR mengumumkan kerusi parlimen Port Dickson akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ.

Dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan akan mengosongkan kerusinya bagi membolehkan Anwar menjadi anggota parlimen dan seterusnya perdana menteri pada masa akan datang.

Danyal juga berkata beliau akan terus berkhidmat di kawasan itu sebagai "mata dan telinga" kepada Anwar.

Ketika ditanya amaran BERSATU Port Dickson agar Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani agar tidak turun berkempen di sana, Mahathir berkata anggota bahagian itu berhak untuk menyuarakan pandangan mereka.

Penyelaras BERSATU Port Dickson Ramli Awang berkata pihaknya mengalu-alukan Anwar untuk bertanding tetapi tidak dapat menerima Rafizi dan Abdullah kerana menuduh Mahathir dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Anwar.

"Itu pandangan bahagian. Anggota adakala tidak ikut peraturan...(tetapi) mereka ada hak untuk suarakan pendirian," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS