Paling Popular
Terkini

PKR hari ini mengumumkan kerusi parlimen Port Dickson akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengumuman hari ini mengesahkan khabar angin bahawa kerusi itu - satu-satunya yang dipegang PKR di Negeri Sembilan - akan dikosongkan untuk presiden PKR itu.

Ia diumumkan anggota parlimen kerusi itu sendiri, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, ketika sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor.

Pada PRU lalu, Danyal mendapat 36,225 undi - 59 peratus daripada undi keseluruhan - untuk menewaskan calon BN V Mogan (18,515) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

"Saya terpanggil untuk menyumbang kepada peralihan kuasa lancar daripada perdana menteri ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad) ke perdana menteri ke lapan (Anwar) berdasarkan persetujuan parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Semalam saya diberitahu oleh (naib presiden) Rafizi Ramli yang selepas perbincangan dengan pimpinan parti, Anwar memutuskan untuk menerima tawaran saya dan memilih Port Dickson sebagai kerusi parlimen yang akan ditandinginya.

"Saya yakin Anwar akan menang dan menjadi anggota parlimen dan, insya-Allah, seterusnya menjadi perdana menteri kelapan negara kita," kata Danyal (gambar).

Beliau berkata akan tetap berkhidmat di kawasan parlimen itu sebagai "mata dan telinga" kepada Anwar.

Dengan Anwar sebagai wakil rakyat, katanya lagi, beliau boleh memberikan lebih banyak manfaat kepada penduduk Port Dickson yang "gembira bakal perdana menteri akan ke kawasan mereka."

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata Danyal tidak dipengaruhi untuk mengosongkan kerusi itu.

Rafizi yang turut hadir di sidang media itu pula menyangkal tanggapan PRK untuk Anwar adalah satu pengkhianatan kepada pengundi.

Beliau berkata ini kerana keberadaan Anwar dalam Parlimen akan mengukuhkan mandat rakyat dengan membantu melaksanakan pembaharuan di peringkat nasional.

Kubu PKR

saifuddin sekali lagi menegaskan pendirian Anwar bahawa beliau menyokong sepenuhnya pentadbiran Mahathir dan tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam kerajaan.

Tiada tempoh ditetapkan untuk peralihan kuasa riapada Mahathir kepada Anwar.

Saifuddin juga berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dimaklumkan berhubung perkara ini dan memberi jaminan akan membantu kempen.

Menjawab soalan sama ada pemimpin parti yang dikaitkan dengan penyandang timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak disertakan dalam perbincangan dalam hal itu, Saifuddin berkata hanya ada satu kem dalam PKR iaitu "team Anwar".

"Apabila orang menawarkan kerusi mereka, kita tidak tanya anda dari kem mana," katanya.

Penyandang naib presiden Dr Xavier Jeyakumar - yang dilihat sebagai penyokong Azmin - turut ada dalam sidang media itu.

Parlimen Port Dickson - atau nama lamanya Teluk Kemang - dimenangi PKR sejak 2008.

Lihat Komen
ADS