Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUJ gesa pekerja Utusan bantah tak dibayar gaji
Diterbitkan:  Sep 15, 2018 6:53 PM
Dikemaskini: Sep 18, 2018 4:00 AM

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menggesa pekerja akhbar Utusan Malaysia milik Umno supaya bekerja dari pejabat sahaja sebagai tanda bantahan.

"NUJ telah dimaklumkan oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad tentang perkhabaran buruk bahawa syarikat akhbar milik Umno kini sudah tidak mempunyai cukup wang untuk membayar gaji pekerjanya," dakwanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Kesatuan itu juga berkata pekerja eksekutif dan bukan eksekutif akhbar itu ditunda bayaran gaji bagi bulan Ogos kepada masing-masing 6 dan 21 September ini.

Menurut NUJ, bayaran tuntutan pengangkutan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tuntutan perubatan dan elaun lain juga tidak dibayar dalam beberapa bulan lalu walaupun bayaran itu dimasukkan ke dalam slip gaji pekerja.

"Keadaan ini ternyata menyukarkan kakitangan Utusan untuk bekerja seperti biasa dan menanggung kehidupan keluarga masing-masing apatah lagi dalam keadan moral pekerja yang semakin jatuh sekarang.

"Kesukaran untuk mengisi tangki petrol kenderaan masing-masing untuk keluar bertugas cukup membebankan ahli NUJ terutama wartawan dan jurugambar ketika ini.

"Ini belum lagi tuntutan perjalanan, potongan KWSP, potongan pinjaman bank, tuntutan perubatan dan pelbagai potongan gaji lain yang tidak dapat dibayar sejak beberapa bulan lalu walaupun dalam penyata gaji tercatat sudah dipotong.

"Sehubungan itu NUJ ingin menasihatkan ahli kami di Utusan, jika tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk mengisi petrol dan keluar bertugas supaya datang kerja seperti biasa dan duduk membuat kerja di pejabat sahaja sebagai tanda protes," kata kenyataan NUJ itu lagi.

NUJ juga mengkritik cara Pengerusi Eksekutif baru Utusan, Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir mengendalikan keadaan dengan "mengabaikan kebajikan dan nasib 1,400 kakitangan Utusan."

Kesatuan wartawan itu juga berkata keadaan tersebut dapat diselesaikan jika Aziz mempunyai perancangan jujur dan strategik terhadap syarikat akhbar itu dan bukanlah memberi cadangan kucar-kacir yang berdasarkan kepentingan peribadi.

"Adalah menjadi satu kesilapan besar Umno sebagai pemegang saham terbesar dalam Utusan meletakkan beliau untuk menguruskan syarikat akhbar ini berdasarkan dengan apa yang berlaku sekarang," kata kenyataan itu lagi.

Lihat Komen
ADS