Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dulu kem Azmin ganggu penubuhan HARAPAN, mahu dengan PAS untuk kekal di S'gor'

Di tengah-tengah kehangatan pemilihan PKR tahun ini, penyandang timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kemnya telah didakwa cuba mengganggu penubuhan Pakatan Harapan (HARAPAN) beberapa tahun lalu.

Bekas menteri besar Selangor itu juga didakwa cuba mengekalkan hubungan dengan PAS demi menjamin kedudukannya di negeri itu - sehingga menimbulkan gangguan kepada pihak lain dalam HARAPAN.

Perkara itu dinyatakan penyandang ketua pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, yang menyokong seteru Azmin, Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan nombor dua dalam parti itu.

Bercakap dengan Malaysiakini, Nik Nazmi mendakwa kem Azmin telah melancarkan petisyen bagi menghalang Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail daripada melancarkan HARAPAN pada September 2015.

"Sebelum penubuhan HARAPAN, Wan Azizah dalam mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR (MPP) mahu mandat untuk membincangkan pembentukan (HARAPAN). Mereka secara asasnya cuba menghalang Wan Azizah.

"Selepas beliau (Wan Azizah) mengisytiharkannya, mereka berkata beliau bertindak melangkaui mandatnya...bahawa ada petisyen untuk menilai semula pembentukan HARAPAN kerana mereka merasakan beliau bertindak di luar mandat," katanya yang juga anggota parlimen Setiawangsa ketika ditemui di pusat khidmatnya, semalam.

Nik Nazmi menjelaskan anggota MPP bertanggungjawab terhadap petisyen itu adalah mereka yang dilihat sebagai "penyokong Azmin", walaupun Azmin sendiri tidak menentang pembentukan HARAPAN secara lantang.

Beliau menegaskan kem Azmin ketika itu tidak yakin dengan HARAPAN kerana ia tidak disertai PAS, dan cuba mencetuskan pergeseran dalam gabungan itu sejak dari awal.

"Ketika kami mahu menubuhkan HARAPAN dan memutuskan hubungan dengan PAS, dan ketika kami mahu meletakkan Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, adakala Azmin dan orang di sekitarnya mengeluarkan kenyataan yang tidak membantu usaha itu," katanya.

'Azmin bermati-matian pertahan kerjasama PAS'

Pada 2017, ketika PKR mengarahkan semua lantikan politik di Kelantan meletakkan jawatan selepas PAS secara rasmi memutuskan hubungan dengan parti itu, Nik Nazmi mendakwa Azmin dan kemnya sekali lagi merumitkan keadaan kerana mereka lebih cenderung untuk bersama-sama parti itu.

"Ada begitu banyak masalah dalam proses itu.

"Ini kerana Azmin dan orang di sekitarnya mahu pertahankan kerjasama dengan PAS secara apa saja," katanya lagi.

Walaupun menjadi sebahagian daripada pentadbiran Azmin di Selangor sebelum ini, beliau berkata peristiwa-peristiwa ini telah menyebabkannya menyokong Rafizi.

"Rafizi lebih sesuai kerana dia akan usahakan untuk menjayakan sesuatu perkara.

"Dan bukan sekadar melihat angka dan kata, 'PAS masih popular, maka baik terus berbincang dengan PAS walaupun mereka hina kita dan kepimpinannya tak boleh dipercayai. Mari letakkan harapan kita kepada PAS kerana ia penting untuk pertahankan Selangor'," katanya.

"Azmin fokus di Selangor. Saya tidak fikir beliau yakin untuk menang di peringkat persekutuan...Sementara Rafizi lebih menumpukan gambaran besar. (Azmin) patut menjadi pemain pasukan yang lebih baik," katanya lagi.

Pada pemilihan kali ini, Nik Nazmi bertanding untuk MPP.

Naib Presiden PKR Tian Chua - salah seorang yang dilihat sebagai kem Azmin - menyangkal dakwaan Nik Nazmi.

"Dakwaan-dakwaan ini tiada makna dalam pemilihan parti kali ini. Pertamanya, ia tidak benar.

"Tetapi membahaskan proses membuat keputusan (dalam parti) secara terbuka adalah tindakan salah, ia tidak menghormati presiden dan kepimpinan pusat PKR," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemilihan parti sepatutnya tentang persaingan idea dan tawaran untuk membawa parti ke peringkat yang lebih baik.

'Rafizi pilihan jelas'

Nik Nazmi menyifatkan Rafizi sebagai pilihan yang lebih jelas, yang komited terhadap parti dan bakal presidennya iaitu Anwar.

"Saya fikir dengan Rafizi sebagai timbalan, ia akan lebih straightforward. Jika timbalan menyokong kuat presiden, maka isu-isu seperti ini akan diuruskan dengan lebih baik.

"Dan Rafizi jelas tentang fokusnya untuk membina semula parti. Beliau tiada kerusi parlimen dan saya fikir ini baik untuk PKR.

"Ini bukan soal Azmin tiada kebolehan, tetapi Rafizi lebih sesuai. Azmin boleh fokus kepada tugasnya sebagai menteri," katanya lagi.

Azmin sebelum ini menafikan dakwaan bahawa beliau tidak setia terhadap Anwar dan PKR, dengan membangkitkan rekodnya bersama parti itu.

"Apabila mereka bercakap tentang Reformasi, cabaran sebenar Reformasi adalah pada 1999, dan sekurang-kurangnya pada 10 tahun pertama. Saya ada ketika itu.

"Saya sentiasa setia terhadap perjuangan. Anggota parti telah melihat saya berjuang, saya sudah berjuang untuk parti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS