Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Wartawan WSJ dakwa Jho Low guna Najib sebagai 'pelindung'
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 11:48 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Wartawan Wall Street Journal (WSJ) Tom Wright mendakwa Low Taek Jho menggunakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'pelindung' (cover) agar tiada pihak yang akan bertanya soalan tentangnya.

Bercakap dengan CNBC, Wright berkata ahli perniagaan itu - lebih dikenali sebagai Jho Low - mengendalikan 1MDB dari belakang tabir dan sesiapa yang berurusan dengannya terkejut dengan jumlah wang dan perlindungan politik yang dimilikinya.

Wright dan seorang lagi wartawan WSJ Bradley Hope merupakan penulis buku Billion Dollar Whale – The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World yang dilancarkan semalam di Manhattan, New York.

"Dia ada perdana menteri sebagai 'cover'. Dia mengendalikan sebuah dana kekayaan negara yang ada lebih banyak wang walaupun jika dibandingkan dengan gabungan ekuiti persendirian dan hedge fund.

"Lelaki ini mengendalikannya di belakang tabir, dia ada perlindungan. Apabila anda berurusan dengan wang sebanyak itu orang tidak akan tanya soalan, peraturan sama sekali dilanggar," katanya kepada rangkaian berita Amerika Syarikat itu.

Berhubung apakah yang dipelajarinya daripada episod itu, Hope menegaskan tidak boleh ada kompromi terhadap proses yang telus.

"Sejak dari mula ada amaran yang boleh dilihat dan diikuti oleh orang dengan mudah. Selama ini ada juruaudit yang boleh pergi lebih jauh dan boleh melihat ada cerita rekaan yang melindugi sebahagian hal ini," katanya lagi seperti dipetik.

Menurut dakwaan penulis buku tersebut, Low dikatakan menyeleweng sejumlah AS$5 bilion (RM20.7 bilion) daripada 1MDB.

Wright dan Hope kemudian mendakwa Jho Low masih memegang sejumlah wang daripada 1MDB dan kini menggunakannya untuk menghalang penjualan buku itu.

"Jelas dia tidak boleh menggunakan sistem kewangan Amerika Syarikat kerana Jabatan Kehakiman (DOJ) sedang menyiasat perkara ini," kata Wright.

"Tetapi dia masih boleh menggunakan wang itu, termasuk mengambil firma guaman besar seperti Schillings di United Kingdom yang menghantar notis perundangan ke seluruh dunia," katanya lagi merujuk usaha untuk menghentikan penjualan buku itu.

Pihak berkuasa Malaysia sudah pun mengeluarkan waran tangkapan terhadap Jho Low.

Wright dan Hope juga mendakwa jumlah yang didakwa telah dicuri menjadi semakin besar.

"...Ada pihak mendapati berlakunya penipuan dan dia mendapat hutang besar daripada Deutsche Bank dan berbanding menggunakannya untuk menutup lubang, dia pergi beli sebuah kapal pesiar berharga AS$250 juta bernama Equanimity. Ini satu kegilaan," kata Wright.

Hope kemudian menyifatkan Low sebagai seorang "pengurus pentas hebat" yang tahu apa yang mahu didengar semua orang.

Najib sebelum ini didakwa atas tuduhan menyelewengkan RM42 juta daripada bekas subsidiari 1MDB, SRC International, dan dilepaskan dengan ikat jamin RM1 juta.

Beliau kemudian dihadapkan dengan tiga lagi pendakwaan pengubahan wang haram.

Lihat Komen
ADS