Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Keluar Umno ketika parti diuji bukan sikap terpuji, kata Zahid
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 1:50 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini membidas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang bertindak meninggalkan parti itu.

Katanya, meninggalkan Umno ketika parti sedang diuji, dengan alasan kelemahan parti adalah tidak wajar bukanlah sikap terpuji dan boleh diteladani.

“Islam mendidik kita agar taat selagi mana kita tidak menyalahi apa yang dikehendaki oleh syara.

“Dalam keadaan ini, saya ingin nyatakan bahawa, atas alasan apapun tindakan tersebut sangat tidak wajar dilakukan apatah lagi mereka dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan yang Umno berikan.

“Meletakkan alasan kelemahan parti kerana agenda peribadi sesuatu yang tidak wajar dilakukan,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun kesal dengan tindakan Mustapa dan Anifah namun Umno menghormati keputusan kedua-dua mereka dan mengucapkan selamat maju jaya.

Ahmad Zahid juga berharap perkembagan itu tidak akan melemahkan anggota parti itu menjelang perhimpunan agung parti pada penghujung bulan ini.

“Saya harap isu ini tidak melemahkan apa lagi melumpuhkan Umno. Umno memerlukan loyalis parti untuk terus hidup.

“Biarlah yang setia kepada semangat perjuangan saja yang tinggal bersama Umno.

"Kepada semua pimpinan dan ahli, kita mesti kekal terus bersatu pada dan bersama memastikan parti kekal releven dalam lanskap politik kian mencabar," katanya.

Presiden Umno itu turut meminta agar semua pemimpin dan ahli parti di semua peringkat agar bertenang, berlapang dada, terus yakin serta memberi kepercayaan kepada pimpinan bagi menangani keadaan tersebut.

Demi agama, bangsa dan negara

Ahmad Zahid berkata, Umno merupakan sebuah perjuangan yang perlu diteruskan demi agama, bangsa dan negara.

Justeru beliau meminta ahli dan pimpinan merapatkan saf dan melakukan usaha bersama agar Umno mampu bangkit semula menjadi parti yang kuat di Malaysia.

Mustapa, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri membuat kejutan malam semalam dengan mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dengan parti itu.

Beliau yang memenangi undi tertinggi dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jun lalu memberi alasan hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Beliau juga mendakwa tidak banyak usaha untuk melakukan proses rejuvenasi parti itu..

Susulan pengumuman itu, bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyalahkan Ahmad Zahid.

Katanya, kerjasama yang dihulurkan parti itu dengan PAS menyebabkan Umno kini 'kehilangan sinarnya'.

Pada 15 Sept lalu, Ahmad Zahid mengetuai delegasi pemimpin Umno menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu.

Ahmad Zahid juga dilapor berkata beliau percaya jalinan kerjasama antara Umno dan PAS adalah jujur atas persefahaman dalam menegakkan syiar Islam

Bagaimanapun, katanya, pembentukan sebuah gabungan pembangkang untuk menghadapi PRU15 perlu diperhalusi di pelbagai peringkat.

Lihat Komen
ADS