Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah UUM 'sekolahkan' Dr Mahathir
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 3:43 PM
Dikemaskini: 12:04 PM

Seorang pensyarah universiti tampil membela PAS selepas parti itu disifatkan perdana menteri sebagai menolak kemerdekaan negara ini.

Menurut Dr Kamarul Zaman Yusoff ada banyak bukti menunjukkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap PAS tidak benar.

Katanya beliau tidak pasti dari mana Dr Mahathir mendapat bukti bahawa PAS menolak kemerdekaan Malaysia sebelum ini.

Seterusnya Kamarul Zaman yang sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu giat menyerang Pakatan Harapan kemudian menunjukkan bukti mengenai sikap PAS terhadap kemerdekaan negara.

Mendakwa mengambil sendiri butiran itu daripada rekod sejarah bekas pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia itu menyenaraikan:

  • 3 Jan 1953 - PAS memilih seruan "merdeka" sebagai cogan kata melalui mesyuarat agung tahunan pertama. Mesyuarat itu diadakan di Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang.
  • Mesyuarat itu juga meluluskan tujuh rancangan politik PAS dengan dua daripadanya ialah memperkenalkan kemerdekaan tulen kepada rakyat, menanamkan semangat serta menunjukkan cara mencapainya, dan menegakkan sebuah negara merdeka yang didirikan oleh rakyat daripada rakyat dan untuk rakyat.
  • 6 Mei 1953 - PAS menghantar dua wakil - Ahmad Fuad Hasan dan Muhammad Hanif - bagi menghadiri suatu persidangan peringkat kebangsaan anjuran 16 tokoh terkemuka, termasuk tujuh menteri besar.
  • 23 Ogos 1953 - Muhammad Hanif sekali lagi mewakili PAS bersama Ahmad Awang menghadiri suatu perhimpunan peringkat kebangsaan anjuran Umno dan MCA.

Kata Kamarul Zaman, kedua-dua program itu dihadiri PAS atas semangat mahu mencapai kemerdekaan.

Menurut maklumat Arkib Negara Malaysia, perhimpunan itu diadakan di Kuala Lumpur dan dihadiri 14 wakil Umno, dua Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan, 14 orang wakil PAS dan perwakilan MCA.

Ia dipengerusikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra.

Matlamat utama diadakan perhimpunan itu ialah untuk mencari kata sepakat daripada semua pertubuhan politik di untuk mempercepatkan proses kemerdekaan Tanah Melayu.

  • 26 Sept 1953 - PAS mengadakan mesyuarat agung khas di Tanah Liat, Bukit Mertajam di Pulau Pinang. Ia dibuat ekoran keputusan persidangan itu yang tidak bersetuju terhadap tuntuhan supaya pilihan raya dewan undangan negeri persekutuan diadakan pada 1954.

Kata Kamarul Zaman hasil mesyuarat itu PAS meluluskan usul supaya parti terbabit menamatkan penyertaan dalam persidangan itu kecuali mereka tidak terikat dengannya jika berlaku perkara-perkara yang tidak sesuai.

"Berakhirnya penyertaan PAS dalam perhimpunan kebangsaan pada 11 Oktober 1953 bukanlah disebabkan oleh PAS tidak setuju dengan tuntutan kemerdekaan, tetapi berpunca daripada bantahan dua wakilnya - Muhammad Hanif dan Mohd Asri Muda - ke atas cadangan jawatankuasa itu untuk memperluaskan hak-hak mengundi kepada penduduk yang belum diakui taraf kerakyatan," katanya.

Letak jawatan lepas PRU ke-14

Menurut Kamarul Zaman lagi manifesto PAS pada PRU 1955 secara jelas menyebut pada bahagian siasah bahawa, jika mencapai kemenangan, wakil rakyat PAS akan “berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai kemerdekaan Malaya dengan secepat mungkin”.

Katanya Mesyuarat Agung PAS kali kelima di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 23, 24 dan 25 Disember 1956 juga meluluskan usul supaya tarikh kemerdekaan Malaya tidak diganjakkan dari 31 Ogos 1957.

Menurut Kamarul Zaman pada mesyuarat tahunan itu juga PAS meluluskan usul supaya kemerdekaan yang akan diisytihar pada 31 Ogos 1957 itu hendaklah penuh berdaulat dalam erti kata yang sebenar-benarnya.


Baca Pensyarah UUM nafi terkucil, tetap kata Mahathir sudah tua


Katanya ia juga meluluskan usul untuk menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah berjuang sehingga lahirnya kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

"Berdasarkan rekod-rekod sejarah ini maka tidak tepatlah kenyataan PAS menolak kemerdekaan atau PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat kemerdekaan," katanya.

Untuk rekod sebelum ini Kamarul Zaman turut lantang mengkritik Dr Mahathir atas kapasitinya sebagai pengarah Mapan.

Beliau pernah dipertemukan dengan Dr Mahathir pada satu forum di Shah Alam.

Bagaimanapun Kamarul Zaman meletakkan jawatannya di Mapan selepas PRU ke-14 berakhir.

Sementara itu Kamarul Zaman dalam mesejnya kepada Malaysiakini malam ini mendakwa, kenyataan itu - yang turut disiarkan oleh harakahdaily - adalah bersifat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan UUM.

Lihat Komen
ADS