Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perihal 25 pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram terhadap Najib
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 1:34 PM
Dikemaskini: Mar 14, 2020 6:45 AM

KINIGUIDE | Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan bagi 25 pertuduhan berkaitan skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

Sejumlah 21 pertuduhan oleh polis bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Baki empat pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bawah Akta SPRM 2009.

Pada 2016, peguam negara ketika itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada segala kesalahan berkaitan skandal itu.

Apa sebenarnya skandal RM2.6 bilion?

Skandal RM2.6 bilion merujuk kepada AS$681 juta yang dipindahkan ke akaun peribadi Najib pada Mac dan April 2013.

Menurut tukaran mata wang ketika itu, ia bernilai RM2.08 bilion. Namun apabila skandal itu mula diketahui umum pada 2015, nilai tukaran meningkat kepada RM2.6 bilion.

Wang itu didakwa untuk kempen BN pada PRU ke-13 dan Najib bertegas ia merupakan sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pendakwa bagaimanapun mendakwa ia merupakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB melalui Tanore Finance Corporation.

Apakah Tanore Finance Corporation?

Tanore didakwa telah memindahkan RM2.08 bilion kepada Najib sebelum beliau memulangkan kembali RM2.03 bilion.

Menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), Tanore dimiliki oleh Eric Tan Kim Loong, sekutu rapat kepada individu yang didakwa sebagai dalang skandal 1MDB, Jho Low. Jho Low juga menggunakan nama itu sebagai nama samaran.

Najib pula mendakwa Tanore milik keluarga diraja Saudi dan sebelum ini menunjukkan tiga surat oleh "Saud Abdulaziz Al Saud". Dalam salah satu surat itu, penulisnya mendakwa Tanore milik putera itu.

Apa pendakwaan terhadap najib?

Sejumlah 21 pendakwaan pengubahan wang haram terhadap Najib merangkumi semua transaksi yang melibatkan "derma" itu.

Najib didakwa menerima RM2.08 bilion melalui sembilan bahagian daripada Tanore melalui Falcon Bank di Singapura.

Beliau juga didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada 1MDB, yang merangkumi RM2.08 bilion itu.

Apa perincian pendakwaan?

Seksyen 4(1) AMLATFA - pertuduhan bawah seksyen ini menumpukan kepada dakwaan pengubahan wang haram yang Najib terima, guna dan pindahkan RM2.08 bilion.

Beliau didakwa menerima wang tersebut melalui sembilan bahagian antara 22 Mac hingga 10 April 2013. Beliau kemudian mendakwa telah memulangkan RM2.03 bilion kepada Tanore pada Ogos 2013.

Ketika itu juga Najib dituduh membayar kepada lima pihak, iaitu Umno (RM20 juta); Umno Batu Kawan (RM100,000); Lim Soon Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn Bhd (RM2 juta) dan Semarak Consortium Sdn Bhd (RM303,000).

Baki RM12.4 juta kemudian dipindahkan kepada satu lagi akaunnya di AmBank.


BacaWang songlap dari 1MDB atau derma?


Seksyen 4(1) AMLATFA memperuntukan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan pengubahan wang haram.

Pihak bersalah juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda hasil daripada pengubahan wang haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Seksyen 23 Akta SPRM - Najib dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB untuk menerima suapan RM2.28 bilion.

Beliau dikatakan melakukannya dengan membenarkan 1MDB menyertai usaha sama dengan Aabar Investments PJS dan kemudian mengeluarkan surat sokongan untuk 1MDB menerbitkan bon bernilai AS$3 bilion.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa dan pengaruh dalam kerajaan dan 1MDB untuk mendapat suapan RM60 juta, RM90.9 juta dan RM49.4 juta dalam tiga keadaan berbeza.

Seksyen 23(1) Akta SPRM menyatakan: "Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan."

Jika didapati bersalah, Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai atau jumlah suapan.


Kiniguide ini disediakan oleh ZIKRI KAMARULZAMAN.

Lihat Komen
ADS