Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Pemilihan PKR akhirnya bermula hari ini dan ia telah pun dilanda masalah selepas terpaksa menangguhkan dan menggantung pemilihan di lapan daripada 15 cabang di Kedah.

Setiausaha jawatankuasa pemilihan Ismail Yusoff memberitahu Malaysiakini bahawa masalah dengan sistem e-undi telah mencetuskan ketegangan di kalangan anggota yang datang awal untuk mengundi pagi ini.

"Ya, ada lapan daripada 15 cabang di Kedah yang terpaksa kita tangguhkan (pemilihan).

"Isunya banyak berkaitan (masalah) teknikal," kata Ismail ketika diminta mengulas rakaman video yang menunjukkan sekumpulan anggota PKR cabang Merbok yang marah dengan hal itu.

"Walaupun pengawas kita dilatih, tetapi kena terima hakiat masih ada isu teknikal dengan kod bar dan tablet yang digunakan untuk mengundi. Itu menimbulkan ketegangan," katanya lagi.

Beberapa gambar insiden itu yang tersebar juga menunjukkan anggota polis berada di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Selain Merbok, tujuh lagi cawangan yang digantung pemilihan adalah Sungai Petani, Sik, Kulim, Langkawi, Baling, Jerai dan Padang Serai.

Ismail berkata beliau juga dimaklumkan tentang seorang calon dalam pusat mengundi di Padang Serai yang dikatakan "membantu" seorang anggota PKR untuk mengundi, dan perlakuan itu disaksikan oleh calon lain.

"Jadi perkara itu dibawa ke luar dan keadaan jadi tegang," katanya.

Ditanya tentang tarikh pengundian baru untuk lapan cabang itu, Ismail berkata ia akan ditentukan kemudian memandangkan pemilihan perlu diteruskan di cabang-cabang lain di seluruh negara.

"Pemilihan di Port Dickson juga terpaksa ditangguhkan, jadi kita akan atur semula (tarikh baru pengundian)," katanya lagi.

Selain anggota PKR di Kedah, sejumlah 55,132 anggota di 13 cabang di Pulau Pinang juga membuang undi hari ini.

Sejumlah 840,000 anggota parti itu di seluruh negara layak untuk mengundi pada pemilihan kali ini dan keputusan penuh dijangka akan diumumkan ketika kongres tahunan November ini.

Lihat Komen
ADS