Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Empat bulan tumbangnya Umno dan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, pelbagai peristiwa menimpa parti Melayu itu sejak detik bersejarah 9 Mei.

Masih mencari rentak sebagai pembangkang, Umno dalam tempoh itu menyaksikan kekalahan dalam PRK, bekas presidennya Datuk Seri Najib Razak diheret ke mahkamah, dan terbaru dua anggota Majlis Tertingginya bertindak keluar Umno dengan mengatakan parti itu tidak lagi berprinsip.

Tindakan itu disusuli pula dengan senarai tular 18 nama pemimpinnya yang dikatakan bakal menyusul, walaupun sebahagiannya sudah membuat penafian.

Dan ia berlaku kurang seminggu menjelang Perhimpunan Agung Umno pada 29 September ini.

Kini pandangan beralih kepada bagaimana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mengambil alih jawatan presiden daripada Najib, mengendalikan keadaan itu.

Ketika wawancara bersama Malaysiakini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri berkata Zahid kini sedang melakukan yang terbaik untuk memulihkan Umno.

Beliau berkata antara yang sedang dilakukan adalah pengubahsuaian daripada parti pemerintah kepada pembangkang dan ia tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Ismail berkata beliau sedar ada pemimpin dan anggota parti yang merasakan usaha itu terlalu perlahan.

Menjawab kegusaran itu, beliau mengibaratkan usaha itu sebagai menyertai perlumbaan lima kilometer, yang tidak boleh dinilai ketika larian baru bermula atau dengan tempoh singkat.

"Presiden melihat peranan di peringkat awal adalah mengubah daripada kerajaan kepada pembangkang, perlu buat penyesuaian dan kajian kenapa kita kalah. Jadi beliau merasakan kita tak boleh terburu-buru untuk tetapkan strategi, hala tuju.

"Tapi ada ahli yang rasa terlalu lama. Kalau kita nak lari jauh sehingga PRU ke-15, perancangan tak boleh dibuat secara ad hoc, perlu ambil masa untuk melakukan perincian.

"Ia akan dibentangkan ketika PAU nanti. Yang penting presiden sedang lakukan yang terbaik dan kita perlu beri peluang kepadanya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Rabu lalu.

'Jangan salahkan presiden'

Antara yang menyuarakan kebimbangan itu adalah Timbalan Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Mohamad Hassan yang mengakui proses tersebut agak perlahan dan tidak seperti yang diharapkan, sehingga mewujudkan ketidakpastian dalam parti.

Setakat ini, antara langkah jelas yang diambil Umno adalah dengan bekerjasama dengan satu lagi parti pembangkang, iaitu PAS.

Kedua-dua parti itu misalnya saling memberi laluan dan membantu kempen ketika PRK Sungai Kandis dan Seri Setia.

Malah Zahid bersama-sama Sabri dan beberapa lagi pemimpin kanan Umno hadir ke Muktamar PAS di Kuala Terengganu pada minggu lalu. Pada masa sama PAS telah menyatakan kesediaan untuk menghantar wakil ke PAU nanti.

Di saat Zahid sedang berusaha sedaya-upaya, Ismail berkata tidak wajar bagi mana-mana pihak menyalahkannya terhadap masalah yang dihadapi Umno pada masa ini.

"Setiap orang ada pendekatan berbeza. Ada yang salahkan presiden setiap kali krisis kerana (merasakan) yang terbaik adalah salahkan presiden.

"Ada juga yang tidak tahan tekanan di sekeliling sehingga membuat keputusan yang merugikan Umno. Saya rasa perkara seperti ini berlaku dalam mana-mana parti sekalipun," katanya yang juga anggota parlimen Bera.

Mustapa Mohamed - salah seorang pemimpin yang disegani dalam Umno - mengumumkan untuk keluar Umno Selasa lalu selepas lebih 40 tahun dalam parti itu.

Langkah itu dituruti bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman kurang 24 jam kemudian.

Ketika itu, Mustapa berkata Umno tidak boleh bergantung kepada sokongan Melayu dan Bumiputera saja dan perlu menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.

Khairy kemudian menyalahkan Zahid atas langkah Mustapa dan menyifatkan kerjasama yang dihulurkan parti itu dengan PAS menyebabkan Umno kini 'kehilangan sinarnya'.

Bukan tanda pemimpin yang baik

Mengulas lanjut, Ismail menegaskan Mustapa tidak menyatakan hubungan Umno dan PAS sebagai punca tindakannya, tetapi jika itulah sebabnya, anggota parlimen Jeli itu patut melihatnya dari sudut positif.

"Sepatutnya Umno Kelantan akan lebih kuat jika ada hubungan baik dengan PAS. Tidak berlawan lagi. Selama ini perbalahan itu merugikan Melayu dan Islam.

"Apa salahnya hubungan Umno dan PAS jika ia membuatkan orang kampung yang berbalah kian rapat, tiada lagi dua kumpulan berbeza. Ini sepatutnya ditunggu-tunggu orang Kelantan," katanya.

Namun apa pun isunya, Ismail berkata Mustapa sebagai anggota Majlis Tertinggi patut membangkitkan rasa tidak puas hatinya di peringkat pimpinan parti.

"Jika lihat banyak perkara tak betul dia perlu betulkan dari dalam, dia tak boleh kata 'Umno tak betul jadi saya mahu keluar'. Itu bukan pemimpin yang baik."

Tindakan Mustapa itu mengejutkan banyak pihak, apatah lagi selepas mengambil kira beliau mendapat undian tertinggi untuk jawatan anggota Majlis Tertinggi pada pemilihan Umno Jun lalu.

Pada PRU ke-14 pula, beliau mengekalkan kemenangan selesa dengan 21,665 undi berbanding calon PAS Mohamad Hamid (15,018 undi) dan calon HARAPAN Azran Deraman (2,078 undi).

Ismail berkata, ia merupakan tanda kepercayaan orang Umno dan pengundi Jeli terhadap Mustapa dan beliau telah mengkhianati kepercayaan itu.

"Bukan setakat yang undi dia untuk Majlis Tertinggi dan parlimen Jeli kecewa, peringkat bahagian dan cawangan juga pasti kecewa.

"Jika beliau memikirkan soal moral, dia kena lepaskan jawatan anggota parlimen kerana dia bukan mewakili parti lain ketika bertanding tetapi BN. Jika dia bermaruah dia kena kosongkan kerusi," kata Ismail lagi.

Lihat Komen
ADS