Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Terdapat salah faham bahawa semua perkhidmatan dan peralatan yang digunakan dalam pembinaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) diimport dari China, kata kontraktornya, China Communications Construction Company (CCCC).

Syarikat milik republik itu menjelaskan terdapat beberapa perkhidmatan dan peralatan yang didapati dari Malaysia dan bukan semuanya dari China seperti yang didakwa beberapa laporan berita.

Presiden CCCC Limited (International), Chen Zhong berkata syarikat itu telah bekerjasama dengan lebih daripada 500 subkontraktor Malaysia, 157 pembekal tempatan dan 91 perunding tempatan dalam projek kereta api sepanjang 688km dari Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

"Terdapat laporan bahawa orang China datang dan semuanya berasal dari China, walaupun penyepit telah diimport dari China.

"Ketika itu, semua orang telah membayangkan tiada penyepit di Malaysia," katanya kepada media Malaysia ketika wawancara yang dilakukan di ibu pejabat CCCC di Beijing pada 21 September lalu.

"Semua ini (laporan dan ucapan dibuat) kerana pemahaman separuh masak (tentang ECRL).

"Apa sahaja yang boleh didapati di Malaysia, kita akan dapat dari Malaysia. Kami hanya mempertimbangkan untuk membeli dari negara lain jika pasaran tempatan tiada bahan atau peralatan, seperti TBM (mesin penggerudi terowong) dan rolling stock (kenderaan pada landasan).

CCCC jawab kritikan

"Kami komited untuk mendapatkan bekalan tempatan sebanyak mungkin untuk mengurangkan masa penghantaran dan menjimatkan kos," katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan mendakwa projek ECRL bernilai RM66.78 bilion terlalu mahal dan sedang mempertimbangkan beberapa pilihan lain. Kerajaan mengeluarkan notis penggantungan pada bulan Julai lalu.

ECRL dan projek mega lain yang diberikan kepada firma-firma Cina telah mengejutkan masyarakat tempatan kerana projek-projek ini dilaporkan telah mengupah sejumlah besar pekerja dari China.

Terdahulu tahun ini, timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata warga China diserap ke dalam pembinaan ECRL kerana "penguasaan bahasa Mandarin".

Pemilik ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjelaskan hanya 30 peratus daripada sumber manusia yang terlibat dalam projek itu terdiri daripada warganegara China dan pekerja dari negara-negara Asia yang lain.

Malaysiakini merupakan antara sembilan pertubuhan media yang dijemput kerajaan China untuk melawat Shenzhen, Hangzhou dan Beijing, sempena ulang tahun ke-40 pembaharuan dan dasar terbuka pentadbiran China.

Turut hadir dalam temu bual itu ialah Naib Presiden CCCC Sun Ziyu, Presiden Eksekutif CCCC Limited (International) Li Qingwei dan Pengarah Urusan CCCC (M) Sdn Bhd Ni Qingjiu.

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, CCCC tidak mengulas kritikan terhadap syarikat itu.

Ditanya mengenai tanggapan negatif terhadap syarikat-syarikat China di Malaysia, Sun mengakui ada firma yang baik dan buruk.

"Bagaimanapun, golongan minoriti (yang teruk) ini tidak mewakili semua syarikat China. Meskipun mungkin terdapat kesilapan, kami menggesa media untuk membangkitkan hal itu dan terus menyemak kami, kami akan terima dan membetulkannya," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS