Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ECRL guna pekerja China kerana bahasa, jelas kerajaan
Diterbitkan:  Apr 3, 2018 11:19 PM
Dikemaskini: 10:03 PM

Pihak pemaju memohon kepada Putrajaya untuk mengambil pekerja warga China untuk membina Projek Keretapi Pantai Timur (ECRL) atas dasar 'penguasaan bahasa', jelas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Pihak ECRL telah memohon pengambilan pekerja asing dari negara China kerana peralatan, jentera dan mesin yang digunakan merupakan teknologi negara China dengan sistem pengoperasian dan manual penggunaan dalam Bahasa Mandarin," kata beliau dalam suatu jawapan bertulis Parlimen minggu lalu.

"Pertimbangan permohonan pengambilan pekerja asing untuk sektor-sektor yang dibenarkan adalah berdasarkan kepada keperluan sebenar majikan serta syarat-syarat dan nisbah kelayakan yang telah ditetapkan oleh Agensi Kawal Selia (AKS) masing-masing," kata Zahid.

"Setelah disemak didapati bahawa permohonan pengambilan pekerja asing untuk projek ECRL menepati semua kriteria dan nisbah kelayakan yang ditetapkan oleh AKS.

"Selain itu pertimbangan permohonan pekerja asing dari negara China dibuat secara case by case basis dan hanya dibenarkan bagi projek kerajaan yang berimpak tinggi," jelas beliau lagi.

Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang bertanya jika pengambilan pekerja dari China untuk projek ECRL dilakukan mengikut peraturan.

Bagaimanapun, Zahid yang menjawab atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri tidak menjelaskan dengan lebih terperinci jumlah pekerja China yang terlibat dalam projek landasan keretapi bernilai RM55 bilion sepanjang 688km itu.

ECRL dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan akan dibina oleh China Communications Construction Ltd (CCCC).

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata projek ini akan membantu pertumbuhan ekonomi negeri-negeri di pantai timur Semenanjung - Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Lihat Komen
ADS