Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam kecewa keputusan Mahkamah Persekutuan

Presiden Badan Peguam Malaysia, George Varughese kecewa dengan keputusan mahkamah persekutuan menolak untuk merujuk empat persoalan perlembagaan berhubung kesahan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan.

Ini selepas mahkamah memutuskan bahawa isu itu sekarang bersifat akademik.

Varughese berkata keputusan ini mungkin boleh menimbulkan ketidakpastian tentang kedudukan semasa undang-undang apabila unsur penting pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan peranan dan tugas Ketua Hakim Negara dijelaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Sekarang terdapat risiko bahawa pelantikan yang menimbulkan kontroversi ini akan berlaku lagi pada masa akan datang, yang kami tetap tegaskan sebagai tidak mengikut perlembagaan," kata.

Beliau menambah mereka juga kecewa bahawa hakim tidak memanfaatkan peluang untuk memutuskan isu-isu yang menyentuh kepentingan perlembagaan dan awam.

Varughese berkata isu-isu penting adalah sama ada Ketua Hakim Negara (pada masa itu, Tun Arifin Zakaria) dibenarkan oleh undang-undang untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan hakim-hakim tambahan selepas beliau meletakkan jawatan itu.

Apa yang penting, katanya, adalah kewajaran pelantikan hakim oleh Agong di bawah Perkara 122 (1A) dan Perkara 122B (1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia bukan perkara yang bersifat akademik dan merupakan isu yang jelas yang telah menarik minat seluruh negara.

"Kepentingan awam menghendaki soalan-soalan di hadapan mahkamah dijawab. Tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh bersifat akademik," katanya.

Badan Peguam diwakili oleh Datuk Ambiga Sreenevasan dan Farez Jinnah, sementara peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh, Alice Loke dan Suzana Atan mewakili Jabatan Peguam Negara.

Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla juga hadir di mahkamah sebagai pemerhati mewakili Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS