Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Laporan: Gaji pekerja Utusan Malaysia ditunda lagi
Diterbitkan:  Sep 30, 2018 12:59 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Gaji para pekerja Kumpulan Utusan Melayu Berhad ditunda lagi dalam masa dua bulan berturut-turut, menurut laporan media tempatan.

Portal berita The Malaysian Insight (TMI) melaporkan bayaran gaji untuk September hanya dijangka dapat dibayar pada minggu pertama Oktober.

Laporan itu memetik pekeliling syarikat bertarikh 25 September yang mana pihak pengurusan Utusan memberitahu kakitangannya penangguhan terbaru ini kerana "hal-hal yang tidak dapat dielakkan."

Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Utusan, Mohd. Nazlan Osman dalam surat pekeliling yang dikeluarkan dua hari yang lalu dipetik TMI sebagai berkata syarikat berkenaan sedang cuba membayar gaji untuk bulan September sebelum 7 Oktober.

"Syarikat akan berusaha memastikan bayaran gaji September 2018 akan dilaksanakan sebelum 7 Oktober 2018,” kata Nazlan.

Walaupun Kumpulan Utusan melakukan langkah-langkah penjimatan kos, syarikat itu pada bulan Ogos telah menunda pembayaran gaji kepada pekerja eksektifnya.

Jabatan Perhubungan Perusahaan panggil wakil pekerja

Kemudian pada 15 September, keadaan bertambah buruk apabila Utusan gagal membayar gaji tepat pada masanya kepada kakitangan bukan eksekutif, menyebabkan wartawan dan jurugambar merancang mengadakan piket.

Kira-kira seminggu selepas itu, Utusan menawarkan surat skim pemberhentian kerja sukarela (VSS) kepada 800 daripada 1,500 kakitangannya dalam penstrukturan semula yang bertujuan mengatasi kekangan kewangannya.

Sumber dilaporkan memberitahu The Edge keputusan itu dibuat selepas mesyuarat di antara Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Bhd Datuk Seri Abd Aziz Sheikh Fadzir dan kakitangan syarikat itu.

Tawaran VSS itu berlangsung sehingga 10 Oktober dan terbuka kepada kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo!, juga majalah kumpulan itu Mastika, Saji, Infiniti dan Wanita.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mengecam tawaran VSS itu, menyifatkannya sebagai “tidak ikhlas, tidak jujur dan cukup mencurigakan.”

Sementara itu, TMI juga melaporkan Jabatan Perhubungan Perusahaan telah memanggil empat wakil NUJ Utusan bagi mendapatkan maklum balas mengenai VSS.

“Mereka dipanggil atas arahan menteri,” kata sumber, petik TMI.

Kesatuan sekerja yang terlibat adalan NUJ cawangan Utusan serta NUJ cawangan Utusan Karya Sdn Bhd yang menerbitkan majalah dan dua akhbar Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar.

Laporan tahunan Kumpulan Utusan menyebut liabiliti keseluruhan syarikat itu berjumlah RM328.17 juta RM302.2 juta pada 2016.

Lihat Komen
ADS