Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK PD | PAS menggesa mahkamah menyegerakan pendengaran saman pemula difailkan seorang pengundi berdaftar di Port Dickson bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi calon pilihan raya.

Kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan langkah itu perlu bagi mengelakkan pengundi di kawasan parlimen Port Dickson sekali lagi berdepan dengan pilihan raya kecil (PRK) hanya kerana mahu memenuhi agenda peribadi pemimpin politik tertentu.

“PAS mengharapkan mahkamah di Kuala Lumpur mendengar kes ini sebelum 13 Okt bagi menghalang Anwar daripada bertanding," katanya.

Takiyuddin yang juga seorang peguam berkata, jika pendengaran saman itu diadakan selepas 13 Okt - iaitu PRK Port Dickson diadakan - dan keputusan kemudian mendapati Anwar memang tidak layak, pengundi di kawasan tersebut terpaksa pula menghadapi satu lagi PRK.

Seorang pengundi pada 28 Sept lalu memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah mengenai kelayakan Anwar bertanding dalam PRK Port Dickson.

Permohonan oleh Noraziah Mohd Shariff di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu turut disertakan dengan perakuan supaya ia didengar secepat mungkin.

Bagaimanapun tarikh pendengaran masih belum ditetapkan.

Dalam afidavitnya, Noraziah menyatakan pengampunan diraja terhadap Anwar tidak mengecualikan kehilangan kelayakannya untuk bertanding kerana Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

PAS anggap sabitan tak terbatal

Katanya, lembaga itu juga berjalan tanpa penyertaan peguam negara - seperti dikehendaki dalam Fasal 42(5) Perlembagaan Persekutuan - dan menteri wilayah persekutuan - seperti Fasal 42(11) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu turut mempersoalkan kelayakan calon HARAPAN itu.

Katanya, hal itu kerana Anwar tidak mendapat pengampunan bebas daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Takiyuddin berkata Anwar dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah rayuan mulai 2015, justeru bekas timbalan perdana menteri itu akan dibebaskan pada 2020.

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan juga mengesahkan keputusan hukuman itu dan mengarahkan Anwar perlu menghabiskan hukuman penjara.

"Namun, pada 16 Mei lalu, selepas PRU14, Agong dengan kuasa yang ada telah memberikan pengampunan pada Anwar mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 42 hanya merujuk kepada kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah.

"Saya percaya bahawa kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 hanyalah merujuk kepada pengampunan terhadap pelaksanaan hukuman sama ada meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, bukannya bermaksud membatalkan secara langsung sabitan kesalahan jenayah," katanya.

Takiyuddin berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan, peruntukan khusus untuk membolehkan seseorang yang hilang kelayakan menjadi anggota Parlimen hanya boleh dibatalkan melalui pengampunan bebas di bawah Perkara 48(1)(e).

Justeru katanya disebabkan Anwar tidak mendapat pengampunan bebas, maka calon HARAPAN untuk PRK Port Dickson itu kekal hilang kelayakan untuk menjadi calon selama lima tahun dari tarikh pembebasan.

Mengakhiri sidang media Takiyuddin mengingatkan pengundi Port Dickson agar memberikan undi kepada calon yang benar-benar layak seperti calon PAS, Mohd Nazari Mukhtar.

“Bagi mengelakkan lebih banyak duit dibazirkan kami menggesa pengundi tidak mengundi calon ini (Anwar), sebaliknya (biarlah) yang menang calon PAS kerana satu-satunya calon yang ada parti manakala calon lain adalah calon bebas,” katanya.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi tersebut untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat bagi membolehkannya menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Selain Anwar dan Tan Sri Isa Samad, Mohd Nazari akan turut berdepan empat lagi calon bebas iaitu bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan, Seck Lau Yan dan Kan Chee Yuen.

Lihat Komen
ADS